Putrajaya kaji kembalikan PPSMI, kata Dr M

Dr Mahathir Mohamad ketika tiba di Parlimen hari ini.

KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan sedang mengkaji secara terperinci cadangan untuk pelaksanaan semula dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI).

Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad berkata kajian itu perlu dilakukan kerana penggunaan Bahasa Inggeris merupakan bahasa antarabangsa.

“Kementerian Pendidikan sedang mengkaji secara terperinci pelaksanakan semula dasar ini dengan menyediakan sistem baru yang digunakan melalui IT iaitu pengajaran yang direkod oleh guru yang terbaik yang akan diguna di semua sekolah, supaya kecekapan guru yang terbaik dapat dinikmati semua murid.

“Kementerian Pendidikan juga mengambil kira kepentingan penguasaan pengajaran dan pembelajaran dalam bahasa Inggeris, kerana bahasa Iggeris sudah menjadi bahasa antarabangsa dan diperlukan untuk pengurusan dan perusahaan.

Penguasaan bahasa Inggeris diambil kira dalam peluang pekerjaan,” katanya menjawab pertanyaan Fahmi Fadzil (PH-Lembah Pantai) yang meminta pendirian kerajaan berhubung PPSMI sama ada ia akan diperkenalkan semula.

Mahathir berkata, pelbagai pandangan diutarakan pelbagai pihak termasuk mereka yang menyokong dan menentang pelaksanaan semula PPSMI.

Ahli Parlimen Langkawi itu turut memberi gambaran subjek Sains dan Matematik lebih sesuai dalam bahasa Inggeris kerana ia diterokai orang berbahasa Inggeris.

“Kita menerima pelbagai nasihat dan pandangan, ada ramai yang nak supaya pelajaran Sains dan Matematik dibuat dalam bahasa Inggeris, ada juga berkeras untuk terus dalam bahasa Melayu.

“Sains dan Matematik bukanlah sesuatu yang diterokai dalam bahasa Melayu, sebaliknya diusahakan oleh orang yang berbahasa Inggeris, kalau tak faham bahasa Inggeris itu agak sukar untuk kita terjemah dalam bahasa Melayu, sebab itu kalau belajar bahasa yang digunakan oleh peneroka ilmu, maka ini dapat diakses secara langsung,” katanya.

Terdahulu, kesatuan guru membantah rancangan melaksanakan semula PPSMI, dasar yang dilaksanakan pentadbiran Mahathir pada 2003 sehinggalah ia dihentikan pada 2012 berikutan bantahan meluas.

Rasional dasar itu penguasaan bahasa Inggeris akan memudahkan perolehan ilmu dalam bidang sains dan matematik, tetapi Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) berkata ia tidak menyelesaikan masalah asas penguasaan bahasa yang lemah dalam kalangan pelajar.

Presidennya, Amiruddin Awang sebaliknya menggesa kerajaan mengatasi kebimbangan mengenai kualiti guru dan mengkaji semula sukatan pelajaran dan mata pelajaran bahasa Inggeris.