Putrajaya pantau jualan pil gugur janin secara ‘online’

Pil gugur janin ‘misoprostol’ dan ‘mifepristone’ merupakan produk yang dilarang dijual di pasaran Malaysia. (Gambar fail)

PETALING JAYA: Kementerian Kesihatan menjalankan 16 serbuan yang mensasarkan produk menggugurkan janin secara atas talian dengan nilai rampasan sebanyak RM97,578 sejak 2016.

Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia Noor Hisham Abdullah berkata pil “misoprostol” dan “mifepristone” merupakan produk tidak berdaftar dan tidak dibenarkan dijual di pasaran Malaysia.

“Bagi mengelakkan aktiviti penjualan dapat dikesan oleh pihak berkuasa, modus operandi yang digunakan bagi penjualan produk ini adalah menggunakan medium internet, aplikasi komunikasi internet dan platform e-dagang.

“Memandangkan aktiviti penjualan ini semakin serius, Bahagian Penguatkuasaan Farmasi meningkatkan kerjasama dengan pengendali platform e-dagang yang berpusat di Malaysia serta media sosial dalam mengambil tindakan menyenarai hitam penjual,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kementerian juga, katanya, turut memantau 225 lama sesawang dan 98 daripadanya dihantar kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM), Facebook, Twitter dan YouTube untuk tindakan penutupan.

Beliau berkata penjualan produk itu melanggar Peraturan 7(1)(a), Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984 dan Seksyen 12(1) Akta Jualan Dadah 1952.

Noor Hisham juga menyeru orang ramai menyalurkan maklumat mengenai penjualan pil gugur ini dengan mengemukakan aduan melalui http://moh.spab.gov.my atau menghubungi talian 03-78413200.