Rayer ditegur 2 kali kerana perkataan ‘bodoh’, ‘kurang pandai’

RSN Rayer

KUALA LUMPUR: Seorang ahli Parlimen DAP hari ini ditegur 2 kali oleh Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Nga Kor Ming kerana menggunakan perkataan yang tidak elok terhadap pembangkang.

RSN Rayer (PH-Jelutong) menujukan perkataan “bodoh” terhadap Shahar Abdullah (BN-Paya Besar) yang menegur celahannya ketika Dewan Rakyat sedang membahaskan Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2019 menurunkan had umur mengundi kepada 18 tahun.

Selepas dinasihatkan Nga, Rayer menarik balik perkataan tidak elok itu, tetapi mahu menggantikannya dengan perkataan “kurang pandai”.

“Jelutong, (bila) kita tarik balik, kita tarik balik dengan ikhlas,” katanya kepada Rayer.

Terdahulu, Ahli Parlimen Khoo Poay Tiong (PH-Kota Melaka) dalam perbahasannya mendakwa cadangan menurunkan had umur pengundi kepada 18 tahun itu pernah dibawa Ahli Parlimen Iskandar Puteri.

Rayer kemudian mencelah untuk mengingatkan Dewan Rakyat bahawa orang yang dimaksudkan itu ialah “Lim Kit Siang, pemimpin tersohor DAP”.

Shahar menegur celahan seperti itu, mengatakan anak muda tahu siapa ahli Parlimen Iskandar Puteri, tetapi teguran itu tidak dapat diterima oleh wakil rakyat DAP itu.

“Mereka bukan bodoh macam kamu,” katanya terhadap Shahar.