Robert Kuok, Goh Tong, Vincent Tan, setiap seorang BN beri sesuatu, kata Najib

Dari kiri: Robert Kuok,, Lim Goh Tong dan Vincent Tan.

KUALA LUMPUR: Bekas perdana menteri Najib Razak berkata dia tidak pernah menyerang ahli-ahli perniagaan seperti Robert Kouk yang kejayaan mereka adalah hasil daripada keputusan kerajaan Barisan Nasional.

Najib tidak pernah menyerang Kuok walaupun dia dimaklumkan oleh MCA bahawa masyarakat Cina tidak mengundi BN pada pilihan raya umum lalu kerana kritikan pemimpin Umno terhadap ahli perniagaan itu.

“Sama ada Kuok, Lim Goh Tong atau Vincent Tan, anda namakan. Setiap seorang daripada mereka diberikan sesuatu oleh kerajaan dahulu,” katanya kepada pemberita di Parlimen hari ini.

Kuok sebelum ini didakwa menyalurkan dana kepada DAP dan dakwaan itu mengundangkan reaksi daripada pemimpin Umno, termasuk Ahli Parlimen Padang Rengas, Mohamed Nazri.

Najib, yang menganggap Kuok sebagai kawannya berkata, beliau tidak menafikan usaha ahli perniagaan itu, tetapi peranan BN juga harus diiktiraf.

“Sudah tentu kredit harus diberikan kepada mereka, mereka tahu bagaimana hendak buat duit dan saya tidak katakan mereka tidak layak untuk berada di kedudukan itu,” katanya.

Najib menambah terdapat salah faham antara kenyataannya dengan kenyataan Nazri sebelum ini, menyebabkan bekas menteri itu mengkritik Kuok.

“Dia mungkin berniat untuk mempertahankan saya tetapi saya bukan dalam mod serang menentang Kuok,” katanya.

Terdahulu, Nazri dilapor berkata undi Cina tidak berpihak kepada BN pada pilihan raya umum lalu kerana MCA gagal menarik sokongan kaum itu, menepis dakwaan ia kerana kritikannya terhadap Kuok.