Siasat siapa pukul Wan Ji, kata Anwar

Presiden PKR Anwar Ibrahim.

KUALA LUMPUR: Presiden PKR Anwar Ibrahim menggesa siasatan dilakukan terhadap dakwaan penceramah bebas Wan Ji Wan Hussin dipukul sewaktu ditahan di Penjara Kajang, sebelum ini.

Anwar berkata, beliau percaya Wan Ji merupakan individu yang berwibawa, tidak membawa fakta palsu bagi memburukkan imej warden yang bertugas di penjara dan Jabatan Penjara Malaysia.

“Semua dakwaan harus disiasat dengan teliti dan saya percaya Menteri Dalam Negeri Muhyiddin Yassin akan mengambil tindakan supaya siasatan segera dibuat,” katanya sewaktu sidang media di Parlimen, hari ini.

Anwar berkata, beliau sentiasa menasihati warden penjara supaya tidak melanggar peraturan ditetapkan, memandangkan perkara sama pernah dibangkitkannya sebelum ini.

“Selalu saya gesa supaya mereka jangan langgar peraturan. Jadi wajar pihak berwajib siasat dalam hal ini, Penjara Kajang harus siasat,” katanya.

Terdahulu, Wan Ji mendakwa dirinya dipukul individu bertopeng yang memakai pakaian warden, sewaktu ditahan di Penjara Kajang selepas dijatuhi hukuman atas tuduhan menghina Sultan Selangor.

Wan Ji berkata, beliau sendiri sudah memaklumkan kepada Ahli Parlimen Permatang Pauh Nurul Izzah Anwar dan Anwar mengenai insiden yang menimpanya sewaktu ditahan di penjara tempoh hari.

Dalam perkembangan lain, Anwar menegaskan rakyat perlu mengetahui ketulenan video seks sejenis melibatkan Haziq Aziz yang mengaitkan Azmin Ali, serta siapa dalang menyebarkan video tersebut.

“Siasatan itu kita serah pada polis. Tetapi ada 2 fasa, 1 apakah sahih video itu dan kedua siapa yang sebarkan. Jadi rakyat biar tahu kedua-duanya,” katanya.

Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador pada Sabtu berkata, pegawainya sudah mengenal pasti dalang di sebalik penghasilan dan pengedaran video seks itu.