Video seks gay rugikan masa kami, kata KPN

Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador.

SEMENYIH: Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador hari ini berkata isu video seks gay yang mensasarkan Menteri Hal Ehwal Ekonomi Mohamed Azmin Ali “tidak baik” untuk pembangunan negara.

Bercakap kepada pemberita, Hamid berkata negara dikejutkan dengan skandal itu sejak Ramadan lalu sehingga kanak-kanak pun bertanya mengenainya.

“Pada masa yang sama, polis dibebani dengan misi kami untuk membersihkan rumah dan jalanan di bandar kita daripada jenayah, tetapi perhatian dan sumber kami dialihkan kepada isu-isu yang tidak sepatutnya timbul awal-awal lagi.”

Apabila isu itu timbul, polis perlu menyiasat, katanya.

“Jika tidak ada maka ia akan menjadi baik. Kita boleh memberi tumpuan kepada perkara-perkara yang lebih penting untuk pembangunan negara.”

Semalam, 6 individu termasuk bekas ketua Pemuda PKR Santubong Haziq Aziz yang didakwa sebagai salah seorang individu dalam klip video tersebut ditahan reman untuk membantu siasatan.

Azmin yang dituduh terlibat dalam video homoseksual itu bagaimanapun menafikan dakwaan tersebut.

Hamid berkata siasatan sedang dijalankan dan polis meninjau semua aspek.

Beliau berkata mereka juga berada di peringkat akhir mengemas kini kertas siasatan berhubung kes rogol melibat seorang pembantu rumah oleh Exco Perak Paul Yong.

Katanya, kertas siasatan itu akan dihantar kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan lanjut.

“Tidak akan ada kelewatan di pihak polis dalam menyelesaikan siasatan ini,” katanya selepas menyampaikan pingat kepada pegawai polis di kem Pasukan Gerakan Am.

Yong ditahan selepas pembantu rumahnya membuat laporan mendakwa dia diserang secara seksual. Yong bagaimanapun menafikan dakwaan itu.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan.

Hamid juga berkata beliau juga menerima gesaan Ahli Parlimen Rembau Umno Khairy Jamaluddin meminta tindakan polis berhubung laporan polis yang dibuatnya tahun lepas mengenai pembayaran balik cukai barang dan perkhidmatan (GST).

“Kami akan menyiasat perkara itu,” katanya.

Khairy membuat laporan itu berikutan dakwaan Menteri Kewangan Lim Guan Eng bahawa pentadbiran terdahulu mencuri berbilion ringgit dalam pembayaran balik GST.

Semalam, Jawatankuasa Akaun Awam berkata dalam laporannya bahawa tiada wang GST yang hilang.