2 suspek terbaru kes video seks gay direman 4 hari

Polis menahan 3 lelaki di Pasir Gudang, Johor semalam bagi membantu siasatan kes video seks sejenis menyasarkan seorang menteri kanan.

KUALA LUMPUR: Dua suspek terbaru yang ditahan semalam berhubung penyebaran video lucah yang menyasarkan seorang menteri, direman 4 hari.

Perkara itu disahkan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Huzir Mohamed.

“Dua suspek itu direman 4 hari bermula hari ini hingga Sabtu ini. Tiga tangkapan dilakukan semalam di Pasir Gudang, Johor, namun seorang lagi dibebaskan selepas keterangannya diambil,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Permohonan reman bagi kedua-dua suspek dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi tengah hari tadi.

Huzir berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 292 Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi Multimedia 1998.

Terdahulu, Mahkamah Tinggi hari ini mengekalkan perintah reman 6 hari yang diputuskan Mahkamah Majistret terhadap bekas ketua Pemuda Ketua PKR Bahagian Santubong, Haziq Aziz berhubung video lucah yang tersebar bulan lalu.

Hakim, Collin Lawrence Sequerah bagaimanapun mengurangkan tempoh reman ke atas 5 lelaki yang ditahan bersama Haziq daripada 6 hari kepada 4 hari.