Anwar terkejut ketua PKR negeri ditahan dalam siasatan video seks mirip menteri

Presiden PKR Anwar Ibrahim.

KUALA LUMPUR: Presiden PKR Anwar Ibrahim terkejut dengan penahanan Pengerusi PKR Perak, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak semalam dalam siasatan terhadap video seks sejenis mirip menteri.

Anwar berkata dia hanya tahu mengenai penahanan itu menerusi laporan media.

“Saya terkejut dan saya tidak tahu kenapa dia ditahan, mungkin polis ada sebabnya dan biarlah siasatan dijalankan,” katanya pada sidang media di Parlimen hari ini.

Semalam, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Huzir Mohamed berkata, polis menahan 3 ahli PKR dalam siasatan ke atas video seks sejenis mirip seorang menteri itu, tetapi enggan mendedahkan identiti mereka.

Timbalan Pengerusi PKR Perak, M A Tinagaran mengesahkan penahanan Farhash, menegaskan dia ditahan untuk membantu siasatan.

Sementara itu, Anwar memaklumkan PKR sudah menjalankan siasatan dalaman untuk mengesan dalang penyebaran video seks sejenis itu.

“Kita tidak ada petunjuk dan tidak ada sesiapa yang tahu. Penyebaran video berkenaan dibuat oleh banyak pihak walaupun menyedari ia adalah salah di sisi undang-undang,” katanya.

Anwar turut menepis laporan mendakwa pemimpin PKR mula menjarakkan diri daripada Azmin.

“Kadang-kadang dia jauh, tetapi bila ada perjumpaan parti kalau dia datang, dia akan duduk di sebelah saya,” katanya.