Azmin boleh ambil cuti atau teruskan kerja, kata Dr M

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad ketika di Majlis Beyond Paradigm Summit 2019, hari ini.

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berkata Azmin Ali boleh mengambil cuti atau meneruskan kerjanya, selepas pemimpin PKR menggesa mana-mana pemimpin yang terpalit dengan tuduhan salah laku “bercuti sementara” sehingga siasatan selesai.

Beliau berkata ini kerana Azmin boleh berbuat demikian selagi tidak dibuktikan bersalah.

“Ini semua mengenai satu kospirasi politik, bukan mengenai mendedahkan seseorang melakukan kesalahan.

“Tetapi lebih kepada menghalang kepada seseorang dari berjaya politik,” katanya ketika ditemui di Majlis Beyond Paradigm Summit 2019, hari ini.

Semalam, Ketua Penerangan PKR Shamsul Iskandar Mohd Akin berkata tindakan bercuti sementara itu penting bagi menunjukkan kepada masyarakat bahawa pemimpin berkenaan tidak cuba berselindung sebalik jawatan tinggi atau kedudukan dalam parti, “apatah lagi di belakang perdana menteri sebagai perisai”.

Perkembangan ini sebulan selepas tersebarnya video seks sejenis yang menyasarkan Azmin dan bekas ketua Pemuda PKR Santubong Haziq Aziz.

Semalam juga, Azmin membidas Shamsul dengan berkata: “Jangan jadi ‘munafik’.”

Mahathir menyifatkan kes video seks sejenis ini ialah konspirasi politik.

“Ini bukan mengenai mendedahkan seseorang melakukan kesalahan, tetapi lebih kepada menghalang seseorang daripada berjaya dalam politik,” katanya.

Sementara itu, Mahathir berkata, beliau tidak tahu sama ada Setiausaha Politik Anwar Ibrahim, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak ditahan semalam berkaitan kes video seks sejenis itu.

“Saya tidak tahu, ini kali pertama saya dengar.”

Setakat ini, polis menahan 9 individu berhubung kes video seks sejenis itu, dengan 6 daripadanya, termasuk Haziq direman sehingga Sabtu ini, manakala 3 lagi ialah ahli PKR yang ditahan di Pasir Gudang, Johor, semalam.