Cermin diri sendiri, Azmin beritahu Anwar

Azmin Ali

PETALING JAYA: Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali hari ini mahu Anwar Ibrahim “cermin diri sendiri”, selepas presiden PKR itu berkata dia perlu melepaskan jawatan jika video seks sejenis mirip menteri itu didapati sahih.

Ditanya apakah komennya terhadap kenyataan Anwar itu, Azmin menjawab: “Dengar dengan teliti apa yang saya katakan ini: Beritahu dia, ‘cermin diri sendiri’.”

Diminta menjelaskan reaksi itu, Azmin berkata Anwar perlu muhasabah.

“Cermin muka dia dulu,” katanya.

Terdahulu, Anwar pada sidang media di Parlimen mengulas pendirian Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad hari ini berhubung kedudukan Azmin, mengatakan terserah kepada menteri hal ehwal ekonomi itu untuk bercuti sementara atau terus bertugas sementara menunggu siasatan polis selesai.

Presiden PKR itu berkata Azmin patut melepaskan jawatan jika video itu sahih, tetapi “kita masih tidak dapat pengesahan”.

“Kalau tidak sahih, saya tidak fikir Azmin patut meletak jawatan, bergantung kepada hasil siasatan,” katanya.