Dewan Rakyat lulus tambahan 13 kerusi DUN Sabah

Jumlah kerusi di DUN Sabah kini bertambah daripada 60 kepada 73 kerusi selepas Dewan Rakyat meluluskan usul tambahan 13 kerusi baru bagi negeri itu hari ini. (Gambar Bernama)

KUALA LUMPUR: Dewan Rakyat hari ini meluluskan usul menambah 13 kerusi Dewan Undangan Negeri di Sabah dengan sokongan 158 ahli Parlimen.

Usul itu dibentangkan Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad dan diluluskan selepas dibahas 21 ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang.

“Ahli bersetuju 158, ahli tidak bersetuju tidak ada, jumlah undi melebihi, maka usul dipersetujui,” kata Speaker Dewan Rakyat, Mohamad Ariff Md Yusof.

Kerusi baru itu adalah Bengkoka, Bandau, Pintasan, Pantai Dalit, Darau, Tanjung Keramat, Limbahau, Tulid, Telupid, Sungai Manila, Lamag, Segama dan Kukusan.

Dewan Rakyat hari ini turut meluluskan pindaan nama bagi kerusi Parlimen Silam yang kini dikenali sebagai Lahad Datu, DUN Tanjong Aru ditukar kepada Tanjung Aru, DUN Lahad Datu menjadi Silam serta DUN Tanjong Batu menjadi Tanjung Batu.

Terdahulu, Mahathir ketika membentangkan usul itu pagi tadi berkata pertambahan 13 DUN Sabah akan memanfaatkan rakyat untuk mendapat perkhidmatan lebih cekap dan berkesan daripada wakil rakyat.

Beliau berkata, ia juga dapat meningkatkan taraf hidup serta merancakkan pembangunan di Sabah.

Katanya, SPR mempertimbangkan pelbagai faktor ketika menjalankan kajian semula persempadanan itu, termasuk kepadatan penduduk dan pertumbuhan pemilih, keadaan geografi, muka bumi dan keluasan kawasan pilihan raya, serta akses rakyat dalam mendapatkan perkhidmatan wakil rakyat dilantik.

“Satu perkara yang ingin ditegaskan di sini adalah pembahagian bilangan pemilih berdaftar yang hampir sama banyak bagi setiap bahagian pilihan raya Persekutuan dan Sabah agak sukar dilaksanakan kerana ada kawasan luar bandar yang keadaan topografi dan demografinya sangat berbeza antara satu sama lain.”