Fitnah: Zamihan saman mufti Perlis RM2 juta

Penceramah kontroversi Zamihan Mat Zin. (Gambar Facebook)

KUALA LUMPUR: Penceramah kontroversi Zamihan Mat Zin memfailkan saman fitnah sebanyak RM2 juta terhadap Mufti Perlis Mohd Asri Zainul Abidin kerana menggelarnya sebagai “pelampau”.

Dalam tuntutannya, Zamihan yang juga pegawai Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), mendakwa Asri membuat kenyataan fitnah terhadapnya pada 14 Oktober 2018 dan 9 Feb 2019.

Kenyataan pertama Asri diterbitkan di Utusan Malaysia di mana mufti itu menuduh Zamihan mempunyai “pandangan melampau dan juga mempersoalkan Sultan Johor”, menurut pernyataan tuntutan yang difailkan peguam Zamihan.

Zamihan yang menjalankan program pemulihan pengganas dan penjenayah ekstremis di bawah Putrajaya juga berkata pada 9 Feb, Asri di sebuah forum di Petaling Jaya mempersoalkan kerajaan mengupah seorang pegawai agama yang “pelampau”.

“Kenyataannya tidak benar dan membayangkan saya bukan orang yang berkelayakan berhubung isu-isu berkaitan dengan Islam.

“Dia juga cuba membayangkan saya seorang pengganas,” kata Zamihan, sambil menambah kenyataan Asri itu bertujuan menghinanya.

Zamihan menuntut ganti rugi sebanyak RM2 juta dan ganti rugi lain, serta permohonan maaf daripada Asri.

Zamihan mencetuskan kontroversi pada 2017 berhubung kenyataannya yang mengkritik Sultan Johor. Beliau kemudian disiasat kerana menghasut.