Guan Eng tak perlu ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan kerana isu GST

Lim Guan Eng pada Ogos 2018 mendakwa tabung amanah pembayaran balik GST kekurangan hampir RM18 bilion.

KUALA LUMPUR: Speaker Dewan Rakyat, Mohamad Ariff Md Yusof berkata Lim Guan Eng tidak akan dirujuk ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan atas dakwaan menteri kewangan itu mengelirukan dewan berhubung isu pembayaran balik cukai barang dan perkhidmatan (GST).

“Tiada unsur prima facie (dalam kes) Bagan yang juga menteri kewangan bahawa beliau mengelirukan dewan,” katanya merujuk Lim yang merupakan ahli Parlimen Bagan.

Beliau berkata, keputusannya dibuat selepas mengkaji laporan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) dan kenyataan Lim pada Ogos 2018.

Ogos tahun lalu, Lim mendakwa tabung amanah pembayaran balik GST kekurangan hampir RM18 bilion, di mana hanya kira-kira RM1.5 bilion masih berada dalam akaun itu.

Beliau turut mendakwa 121,429 syarikat dan individu belum menerima pembayaran balik GST sebanyak RM19.4 bilion sejak 2015 menyebabkan ramai tertanya-tanya mengapa bayaran itu lewat.

Katanya, Najib Razak selaku menteri kewangan ketika itu mempunyai kuasa menghentikan pemindahan RM19.25 bilion ke kumpulan wang disatukan untuk pembayaran balik GST daripada RM82.9 bilion yang diminta Jabatan Kastam.

Isnin lalu, ketua pembangkang, Ismail Sabri Yaakob menggesa Lim dirujuk ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan atas dakwaan kenyataannya berhubung isu pembayaran balik GST yang mengelirukan Dewan Rakyat.

Katanya, kenyataan Lim di Dewan Rakyat pada 8 Ogos 2018 yang mendakwa kutipan GST “dirompak” kerajaan terdahulu ialah satu pembohongan kerana laporan PAC mengesahkan tiada kehilangan wang daripada kutipan cukai itu.

Sementara itu, Ismail Mohamed Said (BN-Kuala Krau) mencadangkan Lim menarik balik perkataan “perompak dan merompak”.

Khairy Jamaluddin (BN-Rembau) pula berkata, dakwaan Lim tidak betul berdasarkan laporan Jabatan Audit Negara kepada PAC.

Ismail Sabri Yaakob (BN-Bera) menggesa speaker tidak membuang masa, sebaliknya perlu meminta Lim menarik balik perkataan “perompak dan merompak”.

“Kita banyak lagi urusan lain, kita minta Bagan tarik balik perkataan merompak itu saja selesai masalah, kenapa susah?” soal ketua pembangkang itu.

Keadaan dalam Dewan Rakyat tegang hampir sejam dengan ahli Parlimen pembangkang dan kerajaan saling bertikam lidah berhubung tindakan speaker tidak merujuk Lim ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan.

Ariff kemudiannya meminta ahli Parlimen mengemukakan usul untuk membincangkan laporan PAC atau mencabar keputusannya.

“Kalau yang tidak ingin mematuhi keputusan speaker, buat usul untuk mencabar keputusan saya,” katanya sambil meminta Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad membentangkan usul kajian semula ke-6 persempadanan kawasan pilihan raya bagi Sabah dan Wilayah Persekutuan.