Jangka hayat lelaki pendek jika berjalan lambat

Orang yang berjalan pantas mempunyai jangka hayat umur yang lebih panjang berbanding mereka yang berjalan lambat.

Selain baik untuk tubuh badan dan menguatkan jantung, amalan jalan laju juga boleh memanjangkan jangka hayat hidup seseorang walaupun BMI anda obes.

Perkongsian ini adalah merujuk kepada perkongsian Dr Latif Saad dalam “Page TheDiagnosa”, mengungkap rahsia jalan laju.

Katanya, definisi berjalan laju yang diberikan oleh pengkaji tersebut adalah berjalan lebih daripada 100 langkah dalam masa seminit.

Peserta yang berjalan laju mempunyai had umur yang lebih panjang untuk semua kategori BMI.

Bermaksud walaupun anda mempunyai BMI yang obes, tetapi jika anda berjalan laju, maka anda mungkin mempunyai kurang risiko untuk mati lebih awal.

Kajian ini telah diterbitkan dalam Jurnal Mayo Clinic Proceedings, dimana fungsi fizikal seseorang mempunyai faktor yang kuat bagi menentukan jangka hayat ataupun kesihatan seseorang berbanding BMI.

Ia juga menunjukkan walaupun BMI seseorang itu tinggi, tetapi jika dia mempunyai kecergasan yang bagus, maka umurnya mungkin akan lebih panjang berbanding orang lain.

Sebaliknya, seseorang yang berjalan lambat itu mempunyai jangka hayat yang lebih pendek walaupun dia berada di dalam kategori BMI yang normal.

Dalam kajian itu melaporkan wanita yang berjalan pantas mempunyai jangka hayat hingga 87 tahun berbanding wanita yang berjalan lambat iaitu pada umur 72 tahun.

Lelaki yang berjalan pantas pula mempunyai jangka hayat hingga 86 tahun berbanding yang berjalan lambat iaitu pada umur 65 tahun.

Secara puratanya terdapat 15 hingga 20 tahun perbezaan diantara mereka yang berjalan pantas dan lambat.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]