Kementerian Kesihatan catat lebih 3,000 kes baru HIV pada 2018

Lee Boon Chye berkata, Kementerian Kesihatan menyediakan peruntukan bagi menampung kos pengurusan 13 rumah perlindungan yang menerima pesakit HIV, termasuk penghidap bawah 18 tahun.

KUALA LUMPUR: Sebanyak 3,293 kes baru HIV dicatatkan tahun lalu, termasuk 47 kes membabitkan penghidap bawah 18 tahun, kata Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Lee Boon Chye.

“Setakat ini, apa yang dilakukan kementerian untuk mencegah jangkitan HIV dalam kalangan kanak-kanak, khususnya di mana pendekatan yang kita ambil adalah setiap ibu yang mengandung dibuat saringan HIV.

“Kita juga memberi rawatan supaya mereka tidak menyebar jangkitan kepada bayi dan setiap kanak-kanak yang dijangkiti juga menerima rawatan,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab pertanyaan Azalina Othman Said (BN-Pengerang) mengenai jumlah terkini kanak-kanak yang dijangkiti virus HIV/AIDS, rumah perlindungan yang dikendalikan kerajaan dan swasta serta jenis bantuan disediakan bagi penghidap.

Mengenai pusat perlindungan bagi pesakit HIV, Lee berkata, Kementerian Kesihatan memberi bantuan kewangan bagi menampung kos pengurusan 13 rumah perlindungan yang menerima pesakit HIV.

“Antaranya Rumah Soleha (Kuala Lumpur) dan Casa Harapan (Pahang) yang turut mempunyai penghuni kanak-kanak HIV.

“Skop fungsi Kementerian Kesihatan ialah pencegahan penyakit, jagaan serta rawatan pesakit di hospital atau jagaan asas, tetapi tidak termasuk penyediaan rumah perlindungan sementara.”

Sebelum ini, katanya, kos pengurusan rumah perlindungan itu disediakan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, tetapi pada 2017, ia meminta Kementerian Kesihatan mengambil alih kos pengurusan itu.

“Walaupun Kementerian Kesihatan tidak mempunyai peruntukan khas untuk tujuan ini, namun atas dasar perikemanusiaan, sebahagian kos pengendalian rumah perlindungan itu dibiayai menggunakan dana bantuan kerajaan di bawah Kementerian Kesihatan untuk NGO.

“Ini telah memberi kesan kepada program pencegahan kerana peruntukan NGO amat terhad dan ianya seharusnya dikhususkan untuk pencegahan dan kawalan HIV.”

Penyakit tidak berjangkit

Lee berkata, Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) mendapati bilangan anak muda berusia 18 tahun ke atas yang menghidap penyakit tidak berjangkit (NCD) seperti kencing manis dan hipertensi sangat tinggi.

Katanya, 17.5% atau 3.6 juta rakyat Malaysia menghidap penyakit kencing manis, hipertensi (30.3%), Hypercholesterolemia atau kolestrol tinggi (47.7%) dan obes (30.6%).

“Kementerian Kesihatan menyedari beban NCD dalam golongan muda amat membimbangkan dan memberi fokus terhadap strategi pencegahan dan kawalan NCD pada peringkat awal mengikut ‘Life Course Approach’ berdasarkan Pelan Strategik Kebangsaan Penyakit Tidak Berjangkit 2016-2025.

Beliau menjawab pertanyaan Mastura Yazid (BN-Kuala Kangsar) yang ingin tahu penyakit kronik paling tinggi dalam kalangan generasi mudah di negara ini.