Mahkamah tolak permohonan Haziq cabar perintah reman

Peguam, Ramesh Sivakumar bersama 2 lagi peguam mewakili Haziq Aziz dan 4 individu lain dalam kes video seks sejenis.

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini menolak permohonan bekas ketua Pemuda PKR Bahagian Santubong, Haziq Aziz untuk mencabar perintah reman ke atasnya bagi membantu siasatan kes video seks sejenis yang menyasarkan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Azmin Ali.

Hakim, Colin Lawrence Sequerah berkata, Haziq yang ditahan Ahad lalu akan kekal dalam tahanan polis sehingga Sabtu ini.

Tetapi, beliau mengurangkan tempoh reman bagi 5 lelaki lain dalam kes sama daripada 6 hari kepada 4 hari.

Terdahulu, Haziq bersama 5 individu lain yang ditahan Ahad lalu, dibawa ke mahkamah dengan tangan bergari pada 9.35 pagi tadi untuk prosiding permohonan semakan perintah reman terhadap mereka.

Mereka direman 6 hari dari Isnin lalu hingga Sabtu ini untuk membantu siasatan polis di bawah Seksyen 377B Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia.

Lima daripada mereka, termasuk Haziq memfailkan permohonan semakan terhadap perintah reman itu pada Isnin lalu dengan alasan polis tidak mematuhi prosedur reman dan tempoh 6 hari terlalu lama.

Individu ke-6 yang diwakili peguam, A Ashok, di mahkamah hari ini berkata, sebarang keputusan mahkamah akan turut menjejaskan anak guamnya.

Sequerah dalam penghakiman lisannya berkata, Majistret, Namirah Hanum Mohamed Albaki sudah meneliti diari siasatan yang sudah dimasukkan dalam sistem talian mahkamah.

Bagaimanapun, peguam, Ramesh Sivakumar yang mengetuai sepasukan peguam mewakili Haziq dan 4 individu lain, berkata majistret tidak tahu sama ada wujud keraguan munasabah untuk polis menahan suspek kerana beliau tidak dilihat membaca diari siasatan.

Katanya, polis perlu mengemukakan diari itu untuk menunjukkan kepada majistret status siasatan mereka sejak 24 jam lalu sebelum membenarkan suspek direman.

Beliau berkata, majistret sepatutnya mempertimbangkan permohonan reman semua suspek secara berasingan, bukan secara bersama kerana mereka disiasat di bawah seksyen berbeza.

Katanya, hanya 2 individu boleh terbabit dalam kesalahan melakukan hubungan seks di luar tabii, bukannya 6 orang.

Peguam lain yang turut mewakili 5 individu itu adalah R Sivahnanthan dan Vince Tan.

Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Radzi Abdul Razak menggesa mahkamah menolak permohonan semakan perintah reman itu kerana majistret sudah mematuhi semua prosedur di bawah Seksyen 117 dan 119 Kanun Prosedur Jenayah.