Masih belum cukup bukti, kata Tommy Thomas tentang kes Teoh Beng Hock

KUALA LUMPUR: Jabatan Peguam Negara masih tidak mempunyai bukti cukup untuk mengkelaskan kematian Setiausaha Politik Exco Selangor, Teoh Beng Hock sebagai mati dibunuh, kata Peguam Negara Tommy Thomas.

Thomas dalam surat kepada peguam keluarga Teoh, Ramkarpal Singh berkata, arahan jabatannya kepada polis untuk membuka siasatan bawah Seksyen 342 Kanun Keseksaan merupakan prosedur pentadbiran.

“Keputusan ini perlu dilakukan walaupun terdapat banyak penelitian pihak jabatan berhubung bukti diperoleh dari siasatan. Terbaru pada Mac lalu, berikutan bukti daripada dapatan Mahkamah Rayuan.

“Bukti yang ada pada masa kini tidak mencukupi untuk tuduh kematiannya dibawah Seksyen 304 atau 304A Kanun Keseksaan.

“Pengkelasan ini bagaimanapun tidak menghalang pihak penyiasat untuk mencari kebenaran atau mengenalpasti pihak terbabit dalam kematiannya,” katanya.

Pada 2009, Teoh, pegawai kepada Exco Selangor ketika itu, Ean Yong Hiah Wah, ditemui mati di tingkat 5 Plaza Masalam di Shah Alam, beberapa jam selepas beliau disoal siasat SPRM Selangor di pejabat badan anti-rasuah itu di tingkat 14 bangunan sama.

Suruhanjaya Siasatan Diraja menyimpulkan Teoh didorong membunuh diri oleh cara soal siasat agresif pegawai SPRM. Ia turut menyalahkan 3 pegawai, atas sikap agresif mereka yang dikatakan melanggar prosedur.

Thomas dalam surat bertarikh 8 Julai lalu memberi jaminan, sekiranya polis menemui bukti mencukupi, pihaknya tidak teragak-agak mengkelaskan semula pertuduhan bawah atas kesalahan bunuh atau tuduhan lain.

Pengerusi Teoh Beng Hock Trust For Democracy, Ng Geok Chee sebelum ini memaklumkan pengkelasan semula itu bercanggah dengan penghakiman Mahkamah Rayuan pada 2014 yang memutuskan bahawa seorang atau lebih individu termasuk pegawai SPRM menyebabkan kematian Teoh.

Ng berkata, pihaknya hanya mengetahui keputusan pengkelasan siasatan itu, selepas polis memanggil adik Teoh, Lee Lan bagi membantu siasatan bawah Seksyen 342.

Dalam surat berlainan, yang dikirimkan kepada Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, Thomas memaklumkan sudah bertemu dengan Ketua Polis Negara, Abdul Hamid Bador dan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Latheefa Koya.

“Mereka setuju untuk bergabung tenaga dan bekerjasama untuk menyelesaikan kes yang sudah lama tertunggak ini dengan kadar segera.

“Harapannya, mereka akan laporkan perkembangan dalam siasatan kepada saya dalam masa terdekat dan kebenaran di sebalik kematian Teoh akan didedahkan,” katanya.

Sementara itu, Ramkarpal berkata, penjelasan Thomas bahawa Jabatan Peguam Negara tidak memiliki bukti cukup untuk menuduh kes berkenaan atas tuduhan membunuh adalah tidak boleh diterima.

“Kami ambil pandangan berbeza dalam isu ini. Kami merasakan, sudah cukup bukti untuk menuduh kes ini bawah kesalahan membunuh. Kami gesa peguam negara meneliti bukti yang diperoleh,” katanya.

Ramkarpal dan beberapa ahli keluarga Teoh akan mengadakan pertemuan dengan Thomas pada minggu ini, bagi mendapatkan penjelasan berhubung keputusannya itu.