Paksa Dr M bekerja hingga 98 macam mendera, kata penulis ‘Anwar PM ke-8’

Shahbudin Husin

SHAH ALAM: Penulis buku “Anwar PM ke-8”, Shahbudin Husin berkata tindakan segelintir pihak yang memaksa Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad terus berkhidmat sehingga habis penggal macam mendera pemimpin berusia 94 tahun itu.

“Kalau kita paksa dia bekerja sampai usia 98 tahun, saya rasa macam kita mendera,” katanya di majlis pelancaran dan perbincangan bukunya di Me’nate Steak Hub hari ini.

Shahbudin berpandangan tempoh yang sesuai adalah peralihan kuasa selepas 2 tahun berkhidmat, dan pada ketika itu, Mahathir sudah berusia 95 tahun.

Beliau berkata demikian ketika menceritakan tujuannya mengarang buku tersebut. Hadir sama, bekas presiden Transparency International Malaysia (TI-M), Akhbar Satar; Ketua Pegawai Eksekutif Institut Darul Ehsan, Mohammad Redzuan Othman; dan bekas wartawan, A Kadir Jasin.

Shabudin berharap perjanjian mengenai peralihan kuasa kepada Anwar antara komponen Pakatan Harapan itu ditunaikan.

“Selain janji yang sudah dimeterai, ia juga adalah proses kelangsungan yang akan memastikan PH terus stabil dan tidak berpecah,” katanya.

Sementara itu, Kadir yakin Anwar akan menjadi perdana menteri seperti yang disebut-sebut dalam kalangan pimpinan PH.

Kadir, yang diketahui rapat dengan Mahathir berkata, rakyat tidak perlu lagi membincangkan soal peralihan kuasa kerana ada banyak lagi isu penting sekarang ini.

“Pakar ekonomi juga telah meramalkan ekonomi yang lebih sukar dalam satu hingga 2 tahun akan datang. Jadi, seperti kata Jomo, kita harus berhenti bercakap politik dan memberi tumpuan kepada ekonomi,” katanya, merujuk kepada ahli ekonomi, Jomo Kwame Sundaram.

Kadir berkata pelabur lebih pentingkan penjelasan dan kepastian mengenai dasar-dasar negara daripada soal siapa yang akan mengetuai negara.