PBS seru banyakkan lagi kerusi Parlimen di Sabah

KOTA KINABALU: Presiden PBS, Maximus Ongkili menggesa kerajaan persekutuan merangka kawasan-kawasan Parlimen baru di Sabah, selepas Dewan Rakyat meluluskan 13 kerusi DUN baru.

Ongkili berkata lebih banyak kawasan Parlimen diperlukan bagi memenuhi keperluan negeri itu yang semakin bertambah.

“Jumlah pengundi meningkat, keperluan asas di rakyat-rakyat di kawasan-kawasan itu juga bertambah, pekan-pekan sudah membangun, maka kepimpina politik amat perlu,” katanya.

Dewan Rakyat meluluskan usul menambah 13 kerusi DUN di Sabah, dengan 158 ahli Parlimen menyokongnya. Ini bermakna akan ada 73 kerusi DUN di Sabah pada pilihan raya umum akan datang.

Pada 2016, Dewan Undangan Negeri meluluskan pindaan pada undang-undang tubuh negeri bagi menambah 13 kerusi DUN, berdasarkan eksesais persempadanan semula oleh Suruhanjaya Pilihan Raya.

Ongkili berkata penciptaan kerusi-kerusi tambahan itu sepatutnya diluluskan Parlimen untuk pilihan raya umum 2018.

Beliau menambah SPR Sabah dan kerajaan persekutuan mesti mengambil kira Perjanjian Malaysia dan Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan semasa mengkaji semula kawasan-kawasan Parlimen.

Katanya, dokumen itu menyatakan jumlah kerusi Parlimen bagi Sabah dan Sarawak mesti sekurang-kurangnya 1/3 atau 33% daripada jumlah kerusi di Dewan Rakyat.

“Perkara itu mesti dipatuhi bagi memenuhi tuntutan perjanjian itu,” katanya.

Ongkili mengulangi seruan meminta pendaftaran pengundi automatik di Sabah ditangguhkan sehingga daftar pemilih negeri itu dibersihkan, kerana terdapat kebimbangan mengenai pendatang haram dan pengundi ragu.