Peguam negara tak dakwa Taib Mahmud kerana tiada bukti baru, kata menteri

Taib Mahmud menjadi ketua menteri Sarawak dari 1981 hingga 2014, sebelum mengangkat sumpah sebagai Yang di-Pertua Sarawak ke-7 pada 1 Mac 2014. (Gambar Bernama)

KUALA LUMPUR: Jabatan Peguam Negara tidak melakukan sebarang pendakwaan rasuah atau salah guna kuasa ke atas Yang di-Pertua Sarawak, Abdul Taib Mahmud kerana tiada bukti dan keterangan baru, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Liew Vui Keong.

“Peguam negara telah mengkaji kes yang telah dibuka terhadap beliau dan memutuskan tiada pendakwaan.

“Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia ada menerima beberapa maklumat daripada Bruno Manser Fund (BMF) dan Sarawak Report, namun isi kandungan maklumat tersebut sama seperti siasatan yang telah dibuka sebelum ini.

“Ianya bukan keterangan baru untuk membolehkan SPRM membuka kertas siasatan yang baru. Sekiranya ada bukti-bukti baru, tiada sekatan kepada SPRM untuk membuka semula siasatan.”

Liew berkata demikian dalam jawapan bertulis terhadap soalan Kelvin Yii (PH-Bandar Kuching) yang meminta perdana menteri menyatakan sama ada SPRM akan membuka semula siasatan terhadap Taib dan orang yang rapat dengannya atas dakwaan rasuah dan penyalahgunaan kuasa selepas bukti baru dikemukakan BMF dan Sarawak Report.

Pada Mei 2018, BMF menawarkan diri untuk memberi maklumat baru kepada SPRM mengenai dakwaan rasuah terhadap Taib yang merupakan bekas ketua menteri Sarawak.

Editor Sarawak Report, Clare Rewcastle-Brown turut datang ke Malaysia atas tujuan sama, tahun lalu.

Sebelum ini, SPRM dilaporkan tidak dapat mengambil sebarang tindakan terhadap Taib walaupun 15 kertas siasatan dibuka sejak 2015 atau 2016.

Bekas ketua pesuruhjaya SPRM, Mohd Shukri Abdull dilaporkan berkata, Taib tidak mempengerusikan sebarang mesyuarat atau membuat keputusan terhadap projek tertentu.

Taib dikaitkan dengan pelbagai dakwaan rasuah ketika menjadi ketua menteri Sarawak dari 1981 hingga 2014, termasuk penyalahgunaan kuasa, rampasan tanah dan menerima sogokan.

Pada 1 Mac 2014, Taib mengangkat sumpah sebagai Yang di-Pertua Sarawak ke-7 selepas meletak jawatan sebagai ketua menteri pada 28 Februari 2014 dan khidmatnya disambung 4 tahun lagi pada Februari lalu.