Pembangkang keluar dewan, berang Guan Eng tak disiasat kerana isu GST

KUALA LUMPUR: Majoriti ahli Parlimen pembangkang meninggalkan Dewan Rakyat sebagai membantah keputusan speaker tidak merujuk Lim Guan Eng ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan atas isu pembayaran balik cukai barang dan perkhidmatan (GST).

Ahli Parlimen pembangkang, khasnya Barisan Nasional berang dengan tindakan Mohamad Ariff Md Yusof memberi alasan tiada unsur prima facie dalam dakwaan Lim terhadap kerajaan terdahulu menyalahgunakan wang bagi tujuan pembayaran balik GST.

Mereka mahu isu itu dibincangkan dalam Dewan Rakyat.

Selepas meninggalkan dewan, mereka mengadakan sidang media di lobi Parlimen untuk menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap keputusan Ariff.

Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin mempertikaikan kredibiliti Ariff yang pernah menjadi hakim Mahkamah Rayuan sebelum dilantik sebagai speaker Dewan Rakyat pada Julai 2018.

“Macam mana dia boleh jadi hakim juga saya tidak tahu?” soal bekas menteri belia dan sukan itu.

Ketua pembangkang, Ismail Sabri Yaakob pula menyifatkan Ariff bersikap dwistandard dengan melepaskan Lim daripada dikenakan tindakan atas dakwaan kerajaan terdahulu “merompak” wang pembayaran balik GST.

Katanya, kenyataan Lim ialah tuduhan jenayah dan Khairy sudah membuat laporan bagi menggesa polis menyiasat dakwaan itu.

“Kita cuba kompromi, iaitu tidak rujuk Lim ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan, dengan syarat dia memohon maaf dan menarik balik perkataan rompak yang digunakan, tetapi speaker tidak arahkan dan tetap menolak usul.

“Banyak ‘double standard’ dalam Dewan Rakyat. Ahli Parlimen Pasir Salak menegur menteri, namun kemudiannya dihalau dan digantung. Ahli Parlimen Pengkalan Chepa turut dihalau disebabkan keluarkan kenyataan ‘macam pondan’.”

Beliau kecewa dan kesal dengan tindakan speaker mempertahankan Lim walaupun selepas Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara mendapati tiada kehilangan dalam kutipan GST.

“Isu yang kita bawa adalah apabila laporan bayaran balik GST dikeluarkan PAC, Lim terus menggunakan perkataan sama sedangkan tidak ada kehilangan langsung.

“Speaker Dewan Rakyat nampaknya cuba mempertahankan Lim dengan mempertahankan tuduhan Lim yang mengatakan duit GST dirompak.”

Walaupun tiada kehilangan wang, PAC dalam laporan yang diumumkan Isnin lalu mendapati undang-undang yang menuntut kutipan cukai itu dimasukkan ke Kumpulan Wang Pembayaran Balik GST tidak dipatuhi.

Ogos tahun lalu, Lim mendakwa tabung amanah pembayaran balik GST kekurangan hampir RM18 bilion, di mana hanya kira-kira RM1.5 bilion masih berada dalam akaun itu.

Lim berkata, sebanyak 121,429 syarikat dan individu belum menerima pembayaran balik GST sebanyak RM19.4 bilion sejak 2015, dan ramai tertanya-tanya mengapa bayaran itu lewat.

Katanya, Najib Razak selaku menteri kewangan ketika itu mempunyai kuasa menghentikan pemindahan RM19.25 bilion ke kumpulan wang disatukan untuk pembayaran balik GST daripada RM82.9 bilion yang diminta Jabatan Kastam.