Penganalisis ramal lebih ramai pemimpin PKR ‘jauhi’ Azmin

Timbalan Presiden PKR Azmin Ali terpalit dengan skandal video seks sejenis membabitkan bekas ketua Pemuda PKR Santubong, Haziq Aziz.

PETALING JAYA: Penganalisis politik menjangka lebih ramai pemimpin dan ahli akar umbi PKR akan menjauhkan diri daripada timbalan presidennya Mohamed Azmin Ali selepas video seks gay yang menyasarkan pemimpin itu tersebar, baru-baru ini.

Awang Azwan Awang Pawi dari Universiti Malaya berkata kenyataan yang dikeluarkan Ketua Penerangan PKR Shamsul Iskandar Mohd Akin yang menggesa mana-mana pemimpin yang terpalit dengan tuduhan salah laku “bercuti sementara” sehingga siasatan selesai sebagai petanda ramai lagi orang kepercayan Azmin akan membuat pusingan U.

Katanya, ini disebabkan Shamsul sebagai pemimpin parti yang sering kali dikaitkan dengan “kem Azmin”.

“Ini juga dugaan politik yang besar kepada Azmin ketika ramai yang dahulunya oportunis, dekat dan mahu dikaitkan dengan kumpulan Azmin, kini mulai menjauh diri,” katanya ketika dihubungi FMT.

Semalam, Shamsul berkata tindakan bercuti sementara itu penting bagi menunjukkan kepada masyarakat bahawa pemimpin berkenaan tidak cuba berselindung sebalik jawatan tinggi atau kedudukan dalam parti, “apatah lagi di belakang perdana menteri sebagai perisai”.

Perkembangan ini sebulan selepas tersebarnya video seks sejenis yang menyasarkan Azmin dan bekas ketua Pemuda PKR Santubong Haziq Aziz.

Mengulas lanjut, Awang Azman yakin kenyataan Shamsul itu sudah pun diteliti dengan baik mengambil kira kesan jangka panjang, reaksi ahli parti dan kehendak rakyat yang mahukan proses siasatan yang lebih telus seperti yang dijanjikan beberapa pihak sebelum ini.

Bagaimanapun, Awang Azman mengingatkan supaya semua pihak akur kepada prinsip undang-undang negara yang menuntut seseorang itu tidak bersalah sehingga terbukti bersalah.

“Bukannya seperti undang-undang kuno China bahawa seseorang itu dianggap bersalah sehinggalah didapati tidak bersalah,” katanya.

Sementara itu, penganalisis politik dari Universiti Utara Malaysia Kamarul Zaman Yusoff berkata Azmin boleh mengabaikan gesaan itu dengan mudah kerana terdapat segelintir pemimpin yang dituduh melakukan salah laku tidak mengambil cuti sementara.

“Contohnya Lim Guan Eng yang terus berkhidmat sebagai ketua menteri (ketika) berhadapan dengan tuduhan rasuah,” katanya.

Jelas Kamarul Zaman lagi, Azmin juga boleh menafikan kenyataan yang dibuat Shamsul dengan mengatakan ia sebagai pandangan peribadi kerana tiada keputusan yang dibuat melalui Mesyuarat Biro Politik PKR dan Majlis Pimpinan Pusat PKR.

Bagaimanapun, katanya, beliau bersetuju jika Azmin mengambil cuti sementara kerana pemimpin itu dilihat sangat terganggu dengan tuduhan tersebut.

“Namun saya ragu dia akan melakukannya kerana begitu banyak yang akan dipertaruhkan di sini,” katanya.