PKR akan ambil tindakan ke atas ahli terbabit video seks sejenis

Saifuddin Nasution Ismail berkata, PKR sedia maklum mengenai penahanan seorang pemimpin PKR negeri bersama 2 lagi ahli seperti dilaporkan media semalam.

PETALING JAYA: PKR akan mengambil tindakan ke atas ahli parti yang terbabit dalam pembikinan dan penyebaran video seks sejenis menyasarkan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Azmin Ali, selepas siasatan pihak berkuasa selesai.

Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution Ismail menggesa polis memfokuskan siasatan ke atas kesahihan video dan individu yang menyebarkan klip video itu bagi menghentikan spekulasi mengenai isu berkenaan.

Katanya, parti itu tidak akan campur tangan dalam siasatan pihak berkuasa berhubung isu itu dan PKR sedia maklum mengenai penahanan seorang pemimpin PKR negeri bersama 2 lagi ahli parti itu seperti dilaporkan media.

“Apabila tindakan undang-undang diputuskan pihak berkuasa, PKR akan mengambil tindakan mengikut perlembagaan parti ke atas mana-mana anggota yang didapati terbabit dalam mana-mana kesalahan di atas,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sehingga kini, polis menahan 9 individu dalam kes video seks sejenis itu, termasuk bekas ketua Pemuda PKR Bahagian Santubong, Haziq Aziz yang secara terbuka mengakui mengadakan hubungan seks sejenis di sebuah hotel di Sabah, Mei lalu.

Haziq turut menamakan Azmin sebagai pasangannya dalam klip video seks sejenis itu, tetapi dinafikan timbalan presiden PKR itu yang menyifatkannya konspirasi untuk memusnahkan kerjaya politiknya.

Selain Haziq dan 5 individu lain yang sedang direman polis, 3 lagi suspek yang juga ahli PKR ditahan di Pasir Gudang, semalam termasuk Ketua PKR Perak, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak yang merupakan setiausaha politik Anwar Ibrahim.

Tetapi, Anwar hari ini menafikan spekulasi beliau ialah dalang di sebalik isu seks sejenis itu.