Polis siasat perunding psikiatri ganggu mangsa rogol

Seorang mangsa rogol yang sedang mendapatkan rawatan psikiatri kerana trauma yang dialami mendakwa diganggu secara seksual oleh perunding psikiatri hospital swasta awal Jun lalu.

KUALA LUMPUR: Seorang perunding psikiatri sebuah hospital swasta di Petaling Jaya, disiasat polis selepas disyaki melakukan gangguan seksual terhadap seorang mangsa rogol yang dirawatnya.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Mohd Zani Che Din berkata pihaknya belum membuat penahanan terhadap individu berkenaan yang didakwa berkelakuan tidak senonoh dengan menghantar perbualan serta gambar berbaur lucah kepada mangsa menerusi aplikasi WhatsApp.

Wanita itu merupakan mangsa rogol yang sedang mendapatkan rawatan psikiatri kerana trauma yang dialaminya dan mangsa mendakwa diperlakukan sedemikian pada awal Jun lepas.

“Kami menerima laporan itu dan sedang melakukan siasatan di bawah Seksyen 509 Kanun Keseksaan kerana perbuatan mengaibkan kehormatan,” katanya ketika dihubungi.

Semalam, pihak pengurusan hospital berkenaan mengeluarkan kenyataan bahawa perunding psikiatri itu digantung tugas di hospital berkenaan 6 Julai lepas dan perkhidmatannya dengan hospital itu ditamatkan berkuatkuasa 15 Julai.