Transgender antara 21 pelacur ditahan polis

21 pelacur termasuk seorang transgender yang ditahan dibawa ke IPD Wangsa Maju untuk tindakan selanjutnya. (Gambar Bernama)

KUALA LUMPUR: Mengenakan bayaran antara RM50 hingga RM90 untuk sekali langganan, itulah kegiatan seorang transgender dan 20 wanita yang ditahan kerana disyaki menjalankan khidmat pelacuran di premis kediaman dan kaki lima Wisma Indah, Jalan Tun Razak, malam tadi.

Turut ditahan, 5 lelaki termasuk 3 warga asing disyaki pekerja premis berkenaan dalam serbuan pada 8.30 malam tadi yang dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7) Bukit Aman.

Penolong Pengarah D7 Bukit Aman, Mohd Hedzir Hussin berkata premis terlibat diubahsuai bagi menjalankan kegiatan pelacuran yang menyasarkan warga asing yang bekerja di kawasan berhampiran.

“Dalam serbuan itu, seramai 12 wanita warga China ditahan, selain 4 wanita Vietnam, 2 wanita Indonesia, seorang wanita tempatan dan seorang transgender warga Indonesia dengan semuanya berusia antara 24 hingga 50 tahun.

“Lelaki pekerja premis yang ditahan adalah 2 lelaki Bangladesh, 2 warga tempatan dan seorang warga Indonesia,” katanya ketika ditemui di lokasi serbuan, malam tadi.

Hedzir berkata pelanggan akan ditawarkan khidmat pelacur di kaki lima Wisma Indah sebelum dibawa ke bilik di tingkat 4.

Beliau berkata semua yang ditahan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Wangsa Maju untuk tindakan selanjutnya.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 372B dan 372 (1)(f) Kanun Keseksaan, 39b Peraturan Imigresen dan Seksyen 6 (1)(c) dan 15(1) Akta Imigresen,” katanya.