Putrajaya lulus projek LRT P Pinang dengan 30 syarat

Ketua Menteri Chow Kon Yeow (kiri) bersama Menteri Anthony Loke pada sidang media hari ini.

GEORGE TOWN: Kementerian Pengangkutan hari ini meluluskan rancangan Pulau Pinang membina Transit Aliran Ringan (LRT) Bayan Lepas yang sepanjang 30km dengan 30 syarat.

Menteri Anthony Loke Siew Fook dalam kenyataan berkata syarat-syarat itu termasuk penilaian kesan sosial, trafik dan warisan, dan syarat-syarat teknikal lain.

Kementerian menerusi Agensi Pengangkutan Awam Darat akan mempamerkan segala dokumen berkaitan projek itu di tempat awam untuk pemeriksaan orang ramai selama 3 bulan.

LRT itu akan dibina dalam 2 fasa, iaitu Fasa 1 dengan jajaran sepanjang 23.5km dan 20 stesen, dan Fasa 2 dengan jajaran sepanjang 6.4km dan 7 buah stesen.

Sementara itu, Ketua Menteri Pulau Pinang berterima kasih kepada kementerian atas kelulusan itu.

Chow Kon Yeow akan menunggu surat rasmi daripada kementerian dan akan memudahkan pameran rancangan itu kepada orang ramai.

“Kami komited untuk mematuhi semua syarat-syarat itu,” katanya dalam kenyataan.

Projek LRT itu akan dibiayai menerusi jualan 3 pulau buatan yang di sedang dibina oleh kerajaan Pulau Pinang melalui rakan pelaksana projek, SRS Consortium.