171 termasuk 34 pelajar tuntut ganti rugi pencemaran Sg Kim Kim

Plaintif antara lain memohon perintah agar kerajaan negeri Johor membiayai kos rawatan perubatan selama 10 tahun mulai dari tarikh penghakiman jika didapati mengalami masalah perubatan berbangkit akibat pencemaran itu. (Gambar Bernama)

JOHOR BAHRU: Seramai 171 individu memfailkan saman di Mahkamah Tinggi, di sini, bagi menuntut ganti rugi dianggarkan berjumlah RM30 juta terhadap 12 defendan berhubung kejadian pencemaran Sungai Kim Kim, dekat Pasir Gudang, Mac lepas.

Kesemua plaintif yang membabitkan 34 pelajar, 8 orang awam dan 129 nelayan itu menamakan 12 defendan termasuk kerajaan negeri Johor, bekas menteri besar Johor Osman Sapian serta bekas pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar dan Pertanian negeri Johor Dr Sahruddin Jamal.

Saman difailkan menerusi Tetuan Kamarudin & Partners itu turut menamakan bekas pengarah Jabatan Alam Sekitar Negeri Johor Dr Mohammad Ezanni Mat Saleh, pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran Negeri Johor Ir Che Mohd Dahan Che Jusof, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Pasir Gudang Zainor Adani dan Ketua Pengarah Jabatan Alam Sekitar Dr Ahmad Kamarul Najuib Che Ibrahim sebagai defendan.

Defendan lain turut melibatkan kerajaan Malaysia, syarikat P Tech Resources Sdn Bhd serta 3 individu yang sudah dituduh di mahkamah berkaitan kes pencemaran berkenaan pada Mac dan April lepas, iaitu N Maridass, Yap Yoke Liang serta Wang Jing Choa.

Peguam plaintif, Kamarudin Ahmad berkata, 34 pelajar dan 8 orang awam memohon perintah agar kerajaan negeri Johor selaku defendan pertama membiayai kos pemeriksaan kesihatan bagi setiap mereka untuk tempoh 3 tahun dari tarikh penghakiman.

Plaintif turut memohon perintah agar kerajaan negeri Johor membiayai kos rawatan perubatan selama 10 tahun mulai dari tarikh penghakiman jika didapati mengalami masalah perubatan berbangkit akibat pencemaran itu.

“Saman ini difailkan di Mahkamah Tinggi Johor Bahru pada 3 petang Isnin menerusi sistem e-filing.

“Kesemua pelajar dan nelayan menuntut ganti rugi di atas kecederaan akibat terhidu gas toksik ekoran pencemaran Sungai Kim Kim hingga mengalami simptom muntah, pening kepala, batuk, demam, sesak nafas, sakit dada dan tekak.

Plaintif turut mengalami simptom tegangan berpanjangan di otot tangan dan kaki serta tahap toksik tinggi dalam darah,” katanya kepada pemberita di pekarangan Mahkamah Tinggi, di sini semalam yang turut disertai kira-kira 35 plaintif.

Menurut Kamarudin, seramai 129 nelayan dari 7 kampung pula secara puratanya menuntut ganti rugi khas antara RM15,000 dan RM30,000 seorang dengan alasan pencemaran Sungai Kim Kim menjejaskan mata pencarian mereka kerana orang ramai takut membeli hasil tangkapan.

Katanya, antara asas tuntutan kesemua plaintif adalah kecuaian yang berlaku sebelum dan selepas pencemaran, iaitu pada amnya defendan gagal memastikan keselamatan dan perlindungan penduduk di Pasir Gudang dari ancaman pencemaran toksik serta gagal menggerakkan serta merta Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri bagi menangani pencemaran toksik Sungai Kim Kim.

Menurut Kamarudin, pengurusan kes permohonan saman terbabit dibuat dalam tempoh 3 bulan ini manakala proses perbicaraannya dijangka bermula November ini.