27 pemimpin PKR kritik Anwar selepas minta Azmin letak jawatan

PETALING JAYA: Sekumpulan pemimpin kanan PKR hari ini mempersoalkan tindakan Anwar Ibrahim yang disifatkan “memecah belah kesatuan parti”, selepas presiden PKR itu menasihatkan timbalannya Mohamed Azmin Ali supaya bercuti sekiranya terbukti beliau merupakan individu dalam video seks sejenis yang tular sejak bulan lalu.

“Justeru berdasarkan penafian tegas YB Timbalan Presiden, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkaitan hal ini, Presiden sewajarnya mempertahankan Timbalan Presiden demi memelihara muafakat utuh Keadilan dan tidak sama sekali cuba menggasir kedudukan Timbalan Presiden dalam kerajaan tanpa sebarang asas yang kukuh,” kata kenyataan ditandatangani 27 pemimpin PKR, termasuk naib presiden, ahli Majlis Pimpinan Pusat dan ahli Parlimen.

Antara mereka termasuk Zuraida Kamarudin, Xavier Jayakumar, Tian Chua, Amirudin Shari, Saifuddin Abdullah, Sivarasa Rasiah dan Maria Chin Abdullah.

Semalam, Anwar berkata beliau menyokong gesaan supaya Azmin bercuti atau meletak jawatan sekiranya kesahihan video seks sejenis yang dikaitkan dengan bekas ketua Pemuda PKR Santubong Haziq Aziz terbukti.

“Pada awalnya, saya katakan Azmin tidak perlu bercuti kerana ia peluru tembakan rambang. Sekarang ini perdana menteri sudah beri kenyataan baru bahawa terpulang kepada Azmin sendiri.

“Sekiranya video itu sahih, maka sepatutnya dia meletakkan jawatan, tetapi kita masih tidak dapat pengesahan,” kata Anwar kepada pemberita di lobi Parlimen ditemani Ketua Penerangan PKR, Shamsul Iskandar Mohd Akin dan Pengarah Komunikasi Fahmi Fadzil.

Shamsul Iskandar dan Fahmi bagaimanapun tidak termasuk dalam 27 pemimpin PKR yang mengkritik Anwar hari ini.

Dalam pada itu, 27 pimpinan PKR itu menegaskan parti wajib berdiri teguh dan konsisten menentang politik kotor yang digunakan dalam komplot untuk menjatuhkan Azmin.

Malahan, mereka berkata parti akan bersama mana-mana pimpinan lain sekiranya mereka diserang dengan cara yang tidak bermoral seperti ini.

27 pimpinan PKR juga berkata Anwar sepatutnya memberikan kepimpinan yang jelas terhadap persoalan utama untuk membanteras komplot politik jahat bagi menjatuhkan Azmin.

“Anwar juga harus fokus kepada perlakuan jenayah konspirator yang telah secara terancang menularkan video seks yang jijik dengan niat jahat,” katanya.

Pimpinan PKR itu juga hairan dengan meminta Anwar menyorot kembali saat ketika ahli PKR teguh mempertahankan beliau daripada fitnah jahat yang menggunakan fitnah dan video seks sebagai alat politik biarpun disahkankan tulen pada 2011.

“Ketika itu ketua polis negara mengumumkan bahawa video seks tersebut adalah tulen.

“Azmin secara konsisten telah mempertahankan beliau dan keluarganya selama lebih 20 tahun daripada semua tuduhan ‘gutter politics’,” kata kenyataan itu lagi.

Mereka juga menggesa Anwar supaya segera menggembleng perpaduan ahli demi keutuhan PKR, Pakatan Harapan (PH) dan negara.

Turut menandatangani kenyataan bersama itu ialah naib presiden Ali Biju, ketua Wanita PKR Haniza Talha, timbalan setiausaha agung Dr Santhara, Rashid Hasnon, Elizabeth Wong, Rahimah Majid, Zakaria Abdul Hamid, Dr Mansor Othman, Kamaruddin Jaafar, Azmizam Zaman Huri, Gan Pei Nei, Hee Loy Sian, Lee Kai Loon, Baru Bian, Steven Chong, Jonathan Yasin dan Willy Mongin.