39 pelajar dari 5 sekolah di Pasir Gudang sesak nafas, muntah

Mohd Khuzzan Abu Bakar. (Gambar Facebook)

JOHOR BAHRU: Seramai 39 pelajar dari 5 buah sekolah di Pasir Gudang mengalami simptom muntah dan sesak nafas pagi tadi.

Exco Kesihatan, Kebudayaan dan Warisan, Mohd Khuzzan Abu Bakar bagaimanapun berkata tiada pelajar yang dirujuk ke Hospital Sultan Ismail untuk mendapatkan rawatan susulan kerana semuanya hanya mendapatkan rawatan di Klinik Kesihatan Pasir Gudang dan Masai.

Katanya, insiden yang berlaku sehingga pukul 2.00 petang itu membabitkan 30 pelajar Sekolah Kebangsaan (SK) Tanjung Puteri Resort, 6 pelajar SK Kopok dan 1 pelajar dari SK Kota Masai, SK Pasir Gudang 4 dan Sekolah Menengah Kebangsaan Tanjung Puteri Resort.

“Jabatan Kesihatan mengambil sampel air kencing pelajar terbabit untuk dianalisis bagi mengesan bahan yang menyebabkan mereka mengalami simptom sesak nafas dan muntah,” katanya dalam kenyataan malam tadi.

Kerajaan tidak pernah memandang ringan kes itu seperti didakwa sesetengah pihak.

“Jabatan Alam Sekitar akan memberikan ganjaran kepada individu yang menyalurkan maklumat berhubung pencemaran alam sekitar terutama di Pasir Gudang.

“Sehingga hari ini, agensi yang terlibat sentiasa mengadakan pemantauan dari semasa ke semasa, termasuk pemantauan berterusan kualiti udara di Pasir Gudang.”