Budi bicara hakim lebih luas selepas mansuh hukuman mati, kata menteri

Liew Vui Keong berkata, hukuman mati mandatori ialah apabila tertuduh didapati bersalah, mahkamah tiada pilihan lain kecuali menjatuhkan hukuman gantung sampai mati. (Gambar AFP)

KUALA LUMPUR: Pemansuhan hukuman mati mandatori tidak bermaksud hukuman mati di bawah undang-undang dimansuhkan sama sekali, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Liew Vui Keong.

Sebaliknya, beliau berkata, kerajaan mencadangkan hakim diberi budi bicara lebih meluas dalam menjatuhkan hukuman selain hukuman mati, iaitu penjara seumur hidup atau bagi tempoh tertentu berdasarkan fakta kes.

Sekiranya hukuman yang dijatuhkan hakim dianggap tidak memadai, pendakwa raya boleh memfailkan rayuan ke mahkamah atasan.

“Terdapat 33 kesalahan di bawah akta sedia ada yang membawa hukuman mati dengan 11 daripadanya adalah mandatori. Mandatori bermaksud apabila seseorang itu didapati bersalah, maka mahkamah tidak ada pilihan lain, melainkan menjatuhkan hukuman gantung sampai mati,” katanya dalam temu bual eksklusif bersama Bernama.

Beliau berkata, bagi 11 kesalahan yang membawa hukuman mati mandatori, 9 daripadanya adalah jenis kesalahan di bawah Kanun Keseksaan dan 2 lagi di bawah Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971.

“Bagi 22 daripada 33 kesalahan itu, mahkamah ada budi bicara untuk menjatuhkan hukuman gantung sampai mati atau penjara seumur hidup dan sebatan. Itu terpulang kepada mahkamah selepas mendengar semua faktor perundangan dan fakta kes sebelum menjatuhkan hukuman yang ada,” katanya.

Rang undang-undang bagi meminda hukuman mati mandatori dijangka dibentang Oktober ini di Dewan Rakyat selepas kerajaan memutuskan tempoh hukuman penjara setimpal sebagai alternatif kepada hukuman maksimum itu.

Liew berkata, cadangan memansuhkan hukuman mati mandatori itu bukan perkara baru dan tidak dibuat secara terburu-buru seperti digembar-gemburkan pihak tertentu kerana kajian berhubung hukuman mati itu sudah dimulakan kerajaan terdahulu seawal 2010.

Beliau berkata, kajian berhubung pemansuhan hukuman itu dilaksanakan I-CeLLS di bawah naungan kerajaan terdahulu yang dikenali sebagai “The Death Penalty in Malaysia and the Way Forward” sekitar 2013 dan antara syor kajian itu adalah semua hukuman mati di Malaysia dimansuhkan sama sekali.

Justeru, Liew menegaskan isu pemansuhan hukuman mati mandatori itu tidak seharusnya dipolitikkan.

Satu jawatankuasa khas akan ditubuhkan untuk mengkaji hukuman alternatif yang memadai untuk setiap kesalahan (selain hukuman mati) dan aspek teknikal berkaitan pemansuhan hukuman mati mandatori.

Jawatankuasa itu akan terdiri daripada wakil agensi kerajaan, pakar perundangan, ahli akademik, pertubuhan masyarakat sivil dan pihak berkepentingan.

“Kerajaan sedia mendengar suara setiap lapisan masyarakat, termasuk pertubuhan masyarakat sivil dan golongan minoriti agar undang-undang baru itu lebih bersifat inklusif, holistik dan efektif.”

Beliau berkata, pihaknya akan memberi penerangan secara terperinci kepada masyarakat agar lebih jelas mengenai perkara itu.