Daftar pengundi automatik: SPR yakin sedia sebelum PRU 15

Mengikut rekod, jumlah pengundi pada pilihan raya umum ke-15 dijangka menjangkau lebih 22 juta orang, berbanding 14.9 juta pengundi tahun lepas.

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mensasarkan sistem pendaftaran pemilih secara automatik, boleh disediakan dalam tempoh 2 tahun lagi, sekali gus mampu diaplikasi buat pertama kali pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

Timbalan Pengerusinya, Dr Azmi Sharom berkata, pelaksanaan pendaftaran automatik warganegara Malaysia yang berusia 18 tahun susulan pindaan perlembagaan persekutuan itu, merupakan cabaran yang cukup besar, namun beliau komited SPR mampu menggalas tanggungjawab tersebut sebaiknya.

“Untuk sistem pendaftaran secara automatik itu memang mengambil sedikit masa. Bagaimanapun SPR yakin ia (sistem itu) boleh mula diaplikasi menjelang PRU15 akan datang. Untuk sistem itu sedia digunakan, dijangka dalam tempoh 1 1/2 ke 2 tahun.

“Banyak perlu dibuat SPR…kita juga perlu bersedia menghadapi berjuta tambahan pengundi. Misalnya menentukan pusat dan saluran mengundi mencukupi, selain membeli kotak undi yang banyak serta melatih pegawai SPR lebih ramai,” katanya ketika ditemui sebelum menjadi tetamu program Ruang Bicara bertajuk “RUU Umur Mengundi 18” terbitan Bernama News Channel di sini, malam tadi.

Selain menurunkan umur warganegara layak mengundi daripada 21 kepada 18 tahun, pindaan itu turut mencadangkan penurunan umur warganegara yang layak menjadi ahli Dewan Rakyat dan Dewan Undangan Negeri kepada 18 tahun, serta mereka didaftarkan secara automatik sebagai pemilih oleh SPR.

Rang undang-undang perlembagaan (Pindaan) 2019 itu diluluskan di Dewan Rakyat semalam, setelah memperoleh lebih 2/3 persetujuan dengan sokongan 211 daripada 222 ahli Dewan Rakyat.

Mengulas lanjut, Azmi berkata, fokus SPR ketika ini, dengan kerjasama Jabatan Pendaftaran Negara, ialah memastikan sistem berkenaan secara teknikalnya telus, selamat dan efisien, agar segala proses pengundian berjalan lancar apabila tiba masanya.

Selain itu, Azmi berkata, SPR mengajak seluruh rakyat Malaysia yang sudah layak mengundi agar mendaftar melalui sistem pendaftaran pengundi secara dalam talian, yang akan dilancarkan esok.

“Sistem mendaftar secara ‘online’ ini, mereka boleh buat di hujung jari sahaja, tidak perlu buat manual di Pejabat Pos atau di mana-mana kaunter. Jadi tiada masalah lagi untuk mereka yang layak mengundi untuk tidak daftar sebagai pengundi.

“SPR berharap sistem pendaftaran ‘online’ ini akan dimanfaatkan, serta menggalakkan rakyat untuk beramai-ramai mendaftar. Terdapat lebih 4 juta (rakyat) lagi yang belum mendaftar setakat ini,” katanya.

Mengikut rekod, jumlah pengundi pada pilihan raya umum ke-15 dijangka menjangkau lebih 22 juta orang, berbanding 14.9 juta pengundi pada pilihan raya umum ke-14 tahun lepas.