Henti spekulasi wujud pergolakan dalam PKR, kata ketua penerangan

KUALA LUMPUR: Shamsul Iskandar Mohd Akin meminta semua pihak berhenti membuat spekulasi mengatakan adanya pergolakan dalam parti itu, selepas Anwar Ibrahim berkata Azmin Ali patut meletak jawatan jika video seks sejenis mirip menteri didapati sahih.

“Pergolakan? Presiden kata tidak ada pergolakan. Presiden adalah Anwar, timbalan presiden pula Azmin. Jadi, tiada isu,” kata ketua penerangan PKR itu kepada pemberita di Parlimen hari ini.

Beliau mengulas kenyataan yang ditandatangani 27 pemimpin dan wakil rakyat PKR mempersoalkan tindakan Anwar “memecah belahkan kesatuan parti” kerana menyokong gesaan meminta Azmin bercuti sehingga siasatan selesai atau meletakkan jawatan jika video tersebut sahih.

Shamsul menasihatkan mereka supaya lebih cermat di masa akan datang. “Sembunyikan kekuatan anda, tunggu peluang yang baik (hide your strength, bide your time),” katanya.

Sebelum ini, ketua penerangan PKR itu berkata pemimpin yang dikaitkan dengan tuduhan salah laku patut membantu pihak berkuasa dengan “bercuti sementara” sehingga siasatan selesai, bagi memberi ruang kepada pihak berkuasa menjalankan tugas dengan bebas dan adil.

“Serta menunjukkan kepada masyarakat bahawa pemimpin-pemimpin ini tidak cuba berselindung di sebalik jawatan tinggi, kedudukan dalam parti, apatah lagi di belakang perdana menteri sebagai perisai mereka,” katanya dalam kenyataan.

Shamsul hari ini meminta pimpinan parti menghormati Azmin yang sedang berdepan masa sukar.

“Kita kasihan dekat Azmin, dia tengah tertekan,” katanya.