Jangan babitkan saya dalam konflik PKR, kata Dr M

Pengerusi Pakatan Harapan, Dr Mahathir Mohamad.

PUTRAJAYA: Pengerusi Pakatan Harapan, Dr Mahathir Mohamad enggan mengulas konflik dalaman PKR, susulan tindakan Presiden PKR, Anwar Ibrahim dan Timbalannya, Azmin Ali saling berbalas kenyataan sejak semalam.

“Saya tidak perlu fikir mengenainya. Saya ada banyak perkara lain untuk dilakukan,” katanya selepas mempengerusikan Jawatankuasa Khas Kabinet mengenai Anti-rasuah di Jabatan Perdana Menteri hari ini.

Ditanya jika konflik kepimpinan dalam PKR akan menjadi liabiliti kepada PH, perdana menteri berkata: “Itu terpulang kepada anda untuk menilai.”

Semalam, Anwar meminta Azmin melepaskan jawatan dalam Kabinet, jika klip video seks sejenis menyasarkan menteri hal ehwal ekonomi itu terbukti sahih.

Azmin kemudiannya membalas kenyataan itu dengan meminta Anwar “cermin diri” sebelum membuat kenyataan.

Hari ini, Mahathir enggan mengulas jika pergolakan dalam PKR berpunca daripada peralihan kuasa perdana menteri.

“Itu perkara masa depan. Kita akan buat keputusan bila tiba masanya.”

Di bawah perjanjian antara pucuk pimpinan PH, Mahathir berjanji akan menyerahkan jawatan perdana menteri kepada Anwar, tetapi tiada tempoh ditetapkan untuk peralihan kuasa itu.