JK Pilihan Khas Parlimen lantik 4 jawatan utama, kata PM

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad. berkata, format atau prosedur akan diwujudkan bagi membolehkan PSC melantik calon ke jawatan penting kerajaan.

PUTRAJAYA: Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSC) Untuk Melantik Jawatan Utama Perkhidmatan Awam akan menentukan pelantikan 4 jawatan penting, kata Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.

Jawatan itu ialah pengerusi dan ahli Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman dan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) serta ketua pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Anti Rasuah (JKKMAR), di sini hari ini.

Mahathir berkata, mesyuarat itu bersetuju supaya format dan gerak kerja atau prosedur akan diwujudkan bagi membolehkan PSC menjalankan peranannya dalam urusan perlantikan calon ke jawatan penting kerajaan.

“Kerajaan bersetuju bahawa terdapat jawatan dalam perlembagaan dan akta dirujuk kepada PSC ini supaya perincian calon yang sesuai dan berwibawa untuk jawatan intu dapat dikemukakan,” katanya.

Ditanya sama ada jawatankuasa itu sudah pun siap, Mahathir berkata, mereka perlu bersetuju sama ada mereka padan dan sesuai sekarang.

“Sebaik sahaja kita mempunyai itu, maka mereka akan menjalankan kerja mereka,” katanya.

PSC itu ketika ini dipengerusikan oleh ahli Parlimen Selayang, William Leong Jee Keen dan dianggotai ketua pembangkang yang juga Ahli Parlimen Bera, Ismail Sabri Yaakob; Tuan Ibrahim Tuan Man (Kubang Kerian); Syed Ibrahim Syed Noh (Ledang) dan Fong Kui Lun (Bukit Bintang).

Berbanding pelantikan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Latheefa Loya baru-baru ini, Mahathir berkata, beliau menggunakan prosedur sedia ada sepertimana yang termaktub di dalam akta bagi lantikan itu.

“Selepas ini, terdapat 4 jawatan penting yang tersenarai di dalam akta yang akan menggunakan prosedur lantikan ini,” katanya.

Sebelum ini Mahathir dilaporkan berkata, PSC tidak dapat berfungsi secara sah lagi kerana beberapa peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan perlu diubah.

Dalam pada itu, beliau berkata mesyuarat JKKMAR hari ini secara prinsip juga bersetuju dengan beberapa syor bagi mengukuhkan kebebasan Jabatan Audit Negara, antaranya berkaitan pindaan Akta Audit 1957 bagi membolehkan kuasa ketua audit negara dalam melaksanakan tindakan.

Ini kerana, katanya di bawah kerajaan terdahulu ketua audit negara menerima arahan daripada perdana menteri hanya kerana ia terletak di bawah Jabatan Perdana Menteri.

“Sebenarnya, ia hanya di bawah Jabatan Perdana Menteri. Ini tidak bermakna perdana menteri harus mempunyai kuasa ke atas ketua audit negara.

“Apa yang telah berlaku pada masa lalu ialah perdana menteri mengarahkan ketua audit negara untuk mengaudit ini dan tidak mengaudit itu.

“Itu adalah salah, juruaudit mesti bebas mengambil tindakan yang difikirkannya patut,” katanya.