JPN tolak lebih 26,000 permohonan kerakyatan, kata timbalan menteri

Azis Jamman berkata, JPN menerima 111,142 permohonan kewarganegaraan dari 2013 hingga 2018. (Gambar Bernama)

KUALA LUMPUR: Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) menolak 26,222 daripada 111,142 permohonan kerakyatan Malaysia yang diterima sejak 2013 hingga 2018.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Azis Jamman berkata, JPN sedang meneliti 54,222 permohonan membabitkan pelbagai peringkat rayuan dan kes, termasuk ibu bapa warga Malaysia, tetapi anak dilahirkan di negara lain.

Katanya, setiap permohonan diproses mengikut prosedur operasi standard di bawah Bahagian III Perlembagaan Persekutuan, Peraturan Kewarganegaraan Malaysia 1964 dan akta berkaitan seperti pendaftaran, perkahwinan, kesahtarafan anak, peraturan imigresen dan anak angkat.

“Pertimbangan terhadap fakta dan dokumen sokongan yang dikemukakan pemohon dilaksanakan dengan teliti secara ‘case-by-case’ mengikut giliran sewajarnya sebelum keputusan dikeluarkan,” katanya di Dewan Rakyat hari ini menjawab pertanyaan Choon Shiau Yoon (PH-Tebrau) yang ingin tahu berapa banyak permohonan kerakyatan ditolak dan apa inisiatif JPN untuk menyelesaikan permohonan tertangguh.

Pengecualian ujian Bahasa Melayu

Azis berkata, kerajaan turut memberi kelonggaran kepada pemohon dalam ujian Bahasa Melayu jika individu itu sudah lama tinggal di Malaysia.

“Soal penguasaan bahasa ini antara ujian-ujian yang kita berikan kepada pemohon kewarganegaraan, tetapi adalah sedikit pengurangan syarat itu jika kita tahu pemohon atau orang itu sudah lama ada di sini sejak puluhan tahun.

“Ini antara perkara diumumkan perdana menteri, di mana mereka berumur 50 tahun ke atas diberi kelonggaran dari segi penguasaan bahasa,” katanya menjawab pertanyaan tambahan Abdul Latiff Abdul Rahman (PAS-Kuala Krai) yang ingin tahu cara memastikan pemohon dapat menguasai Bahasa Melayu.