Judi atas talian: 37 warga Korea Selatan diekstradisi dari Malaysia

Maklumat daripada Korea Selatan membantu pasukan polis Malaysia mengetahui tempat persembunyian sindiket di Kuala Lumpur.

SEOUL: Polis menahan 37 rakyat Korea Selatan yang disyaki mengendali laman sesawang perjudian haram, dengan pertaruhan beratus-ratus bilion won, di Malaysia selepas mereka diekstradisi dari negara Asia Tenggara itu, lapor agensi berita Yonhap memetik kenyataan agensi polis kebangsaan pada Khamis.

Kesemua 37 suspek dari 2 sindiket perjudian haram -satu dengan 9 anggota dan yang lain dengan 28 anggota – telah diekstradisi melalui lapangan terbang Incheon, barat Seoul, dari 9 Julai sehingga Rabu.

Ia merupakan jumlah terbesar rakyat Korea Selatan pernah ditahan di luar negara bagi kesalahan mengendali laman sesawang perjudian haram.

Sindiket 9 anggota itu, yang diketuai seorang lelaki berusia 41 tahun dengan nama keluarga Lee, disyaki mengendali sarang perjudian secara atas talian di Kuala Lumpur sejak Mac 2015 dan mengaut keuntungan secara haram sebanyak 19.2 bilion won (AS$16.25 juta).

Satu lagi sindiket, yang diketuai seorang lelaki berusia 38 tahun dengan nama keluarga Roh, didakwa mengendali laman sesawang perjudian haram serupa di ibu negara Malaysia itu sejak April 2017.

Penahanan pengendali perjudian haram itu dibuat selepas polis Korea Selatan bertemu delegasi Malaysia di satu simposium jenayah siber antarabangsa di Seoul pada Mei tahun ini.

Agensi polis kebangsaan menyalurkan petunjuk kepada delegasi itu yang membawa kepada penahanan mereka.

Maklumat yang diperoleh dari Korea Selatan membantu pasukan polis Malaysia mengetahui tempat persembunyian mereka.

Polis Malaysia mencadangkan kepada rakan sejawat mereka dari Korea Selatan untuk mengadakan serbuan bersama ke atas tempat persembunyian itu.

Agensi polis itu telah menghantar sepasukan penyiasat Korea ke Malaysia dari 20 hingga 30 Jun.

Dengan kerjasama 50 anggota polis tempatan, pasukan itu berjaya memberkas suspek dan merampas 25 komputer serta 40 telefon bimbit, yang dilanggan menggunakan identiti curi, dipercayai digunakan berkaitan laman sesawang perjudian haram.