Laksana semula PPSMI langkah ke belakang, kata Abim

Mohamad Raimi Ab Rahim berkata, majoriti murid yang sederhana dan lemah menghadapi 2 isu, iaitu gagal menguasai konsep asas Sains dan Matematik serta bahasa Inggeris dengan baik.

PETALING JAYA: Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) membantah hasrat kerajaan melaksanakan semula dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) dengan menyifatkannya langkah ke belakang yang akan menjadi halangan untuk melahirkan rakyat berilmu dan mahir berbahasa Inggeris.

Presidennya, Mohamad Raimi Ab Rahim berkata, PPSMI yang mula dilaksanakan pada 2003 hanya memanfaatkan tidak lebih 8% pelajar yang sudah menguasai bahasa Inggeris di seluruh negara.

Katanya, majoriti murid yang sederhana dan lemah dari kawasan bandar dan luar bandar menghadapi 2 isu, iaitu gagal menguasai konsep asas Sains dan Matematik serta bahasa Inggeris dengan baik.

Beliau berkata, keputusan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah 2008 menunjukkan 170,000 pelajar gagal dalam subjek Sains dan Matematik.

“Kemelut defisit ilmu asas yang dialami murid berterusan sehingga peringkat menengah atas, apabila kemasukan murid ke aliran Sains semakin menurun secara konsisten sehingga hari ini.

“Generasi PPSMI yang menceburi bidang Sains menurun daripada 29.35% pada 2012 kepada 28.90% pada 2013, 28.69% pada 2014, 23.15% pada 2016 dan 23.19% pada 2017,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pada 16 Julai lalu, Dr Mahathir Mohamad dilaporkan berkata, kerajaan mengkaji pelaksanaan semula dasar PPSMI menggunakan sistem teknologi maklumat bagi merekodkan pengajaran guru terbaik untuk digunakan di semua sekolah.

Perdana menteri berkata, Kementerian Pendidikan akan mengambil kira kepentingan penguasaan pengajaran dan pembelajaran dalam bahasa Inggeris yang diperlukan untuk pengurusan dan perindustrian.

PPSMI diluluskan pada Julai 2002 dan mula dilaksanakan pada 2003, sebelum dimansuhkan pada 2012. Kerajaan kemudiannya memperkenalkan Program Dwibahasa (DLP) dengan 22,960 pelajar sekolah rendah dan menengah terbabit dalam program itu sehingga November 2018.

Raimi berkata, secara keseluruhan, hanya 21% sekolah menengah di seluruh negara mencapai nisbah dasar 60:40 yang dilihat akan menyukarkan negara menjadi masyarakat saintifik.

Katanya, keadaan bertambah teruk apabila hanya 40% pelajar aliran sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian tinggi dalam bidang Sains dan berkaitan, termasuk kursus dalam bidang teknologi serta vokasional.

“Laporan Akademi Sains Malaysia menunjukkan hanya 20% saja yang lulus dan bergraduasi.

“Pencapaian literasi Sains dan Matematik serta literasi bacaan pelajar Malaysia melalui penaksiran antarabangsa ‘Trends in International Mathematics and Science Study (TIMSS)’ dan ‘Programme for International Student Assessment (PISA)’ di peringkat antarabangsa juga menjunam secara konsisten bermula kitaran 2003 (TIMSS) dan 2012 (PISA), iaitu ketika generasi PPSMI.”

Beliau berkata, negara yang menggunakan bahasa ibunda dalam pembelajaran Sains dan Matematik seperti Korea Selatan, Vietnam, Hong Kong, Finland dan Jepun, pretasi pelajarnya mencatat peningkatan konsisten dan cemerlang.

“Belajar dan fasihlah dengan apa jua bahasa yang kita mahu dan minati demi kemajuan anak bangsa.

“Tingkatkan penguasaan bahasa Inggeris dengan memperbaiki kaedah pengajaran dan pembelajaran subjek bahasa Inggeris. Namun, bukan dengan menidakkan hak murid untuk lebih memahami mata pelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa ibunda mereka.

“Abim menggesa kerajaan mengambil iktibar dan tidak melakukan kesilapan yang merugikan masa depan anak serta negara. Polisi berkaitan pendidikan perlu berasaskan data empirikal, bukannya persepsi.”