Malaysia tidak pernah iktiraf sekolah pergigian Taiwan

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata, pendaftaran graduan pergigian dengan kelayakan tidak diiktiraf, termasuk dari Taiwan mungkin dipertimbangkan di bawah Akta Pergigian 1971 sekiranya memenuhi kriteria ditetapkan MPM. (Gambar Bernama)

KUALA LUMPUR: Kelayakan asas pergigian daripada sekolah pergigian di Taiwan tidak pernah diperakui di bawah Akta Pergigian 1971, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah.

Noor Hisham, yang juga presiden Majlis Pergigian Malaysia (MPM), merujuk kepada laporan berita semalam yang menyebut MDC menarik balik pengiktirafan 7 buah sekolah pergigian Taiwan daripada Jadual ke-2 akta tersebut.

“MDC ingin menjelaskan bahawa in tidak benar kerana kelayakan asas pergigian dari sekolah pergigian Taiwan tidak pernah diiktiraf di bawah Akta Pergigian 1971 dan oleh itu tidak pernah disenaraikan di bawah Jadual ke-2 akta tersebut,” katanya dalam kenyataan, di sini, semalam.

Bagaimanapun katanya, pendaftaran graduan pergigian dengan kelayakan yang tidak diiktiraf, termasuk dari institusi pergigian Taiwan mungkin dipertimbangkan di bawah Seksyen 12(3) atau Seksyen 12(9) Akta Pergigian 1971 sekiranya memenuhi kriteria yang ditetapkan oleh MDC.

Noor Hisham berkata, pada masa ini, terdapat 139 graduan dari sekolah pergigian Taiwan yang tidak diiktiraf sudah didaftarkan dengan MDC selepas memenuhi kriteria yang ditetapkan oleh MDC.

Justeru katanya, kesemua 139 graduan itu dibenarkan mengamalkan profesion mereka di Malaysia.