MB: Hanya Istana Kelantan boleh keluar kenyataan mengenai perkahwinan Sultan

Menteri Besar Kelantan Ahmad Yaakob berkata, pihaknya tidak menerima sebarang maklumat mengenai status perkawinan Sultan Muhammad V.

KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan meminta supaya semua pihak menunggu pengumuman daripada Istana Kelantan berhubung perkembangan berita perceraian Sultan Muhammad V dengan bekas ratu cantik Rusia Rihana Oksana Gorbatenko.

Menteri Besar, Ahmad Yakob berkata, hanya pejabat Istana Kelantan sahaja yang boleh mengeluarkan kenyataan rasmi mengenai isu pernikahan dan perceraian Sultan Muhammad V.

Ahmad berkata, pihaknya tidak menerima sebarang maklumat pernikahan dan perceraian kerana maklumat rasmi hanya dikeluarkan oleh pejabat Istana Sultan Kelantan.

“Setakat ini kita tidak dapat maklumat. Itu biasanya melalui Pejabat Sultan, saya pejabat Menteri Besar… lain,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Wahdah Temasek (Infak Wakaf Umat Islam Singapura) di Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS).

Istana Kelantan setakat ini masih berdiam diri berkaitan isu itu, tetapi sudah mengeluarlan penegasan bahawa tiada pihak boleh digelar permaisuri Kelantan, raja perempuan Kelantan, sultanah Kelantan atau Queen of Kelantan tanpa pengumuman rasmi.