Peguam negara tuntut Najib mohon maaf komen FB mengenai perbicaraan
Tommy Thomas berkata, pihak pendakwaan percaya Najib mengulas mengenai perbelanjaan kad kreditnya tanpa nasihat peguamnya.
KUALA LUMPUR: Peguam Negara, Tommy Thomas hari ini menuntut permohonan maaf daripada Najib Razak kerana memuat naik komen mengenai perbicaraan rasuah dan pecah amanahnya di Facebook.
Thomas berkata, pihak pendakwaan percaya Najib mengulas mengenai perbelanjaan kad kreditnya tanpa nasihat peguamnya.
“Beliau patut membuat permohonan maaf penuh dan tanpa syarat atas apa yang dikatakannya,” katanya sambil menambah seperti tertuduh lain, Najib perlu dilayan sama rata di bawah undang-undang.
Pada permulaan perbicaraan hari ini, Thomas berkata, 2 saksi memberi keterangan mengenai perbelanjaan kad kredit Najib dan bekas perdana menteri itu menjelaskan tujuan perbelanjaan itu di Facebook pada Isnin serta Selasa lalu.
“Tindakan itu perlu dihentikan,” katanya sambil menambah peraturan sub judice turut terpakai walaupun kes Najib tidak dibicarakan juri.
“Beliau tidak boleh mengharapkan layanan lebih baik daripada orang lain hanya kerana beliau ialah bekas perdana menteri dan mempunyai penonton politik.”
Mengikut sistem kehakiman jenayah Malaysia, Thomas berkata, pihak pendakwaan membentangkan kes mereka dan jika pihak pembelaan dipanggil, Najib boleh mengemukakan kesnya di mahkamah.
“Itu haknya, tetapi beliau perlu faham apa yang saya katakan.”
Peguam, Harvinderjit Singh berkata, Muhammad Shafee Abdullah berada di mahkamah lain dan memohon perkara itu didengar kemudian.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya ad hoc, V Sithambaram berkata, tarikh perlu ditetapkan untuk menyelesaikan isu itu.
Hakim, Mohd Nazlan Mohd Ghazali berkata, ia adalah perkara mudah dan bersetuju mendengar hujah peguam Najib selepas makan tengah hari.
Isnin lalu, mahkamah mendengar kira-kira RM3.9 juta dana SRC International Sdn Bhd digunakan pada 2014 dan 2015 untuk membayar bil kad kredit Najib.
Ahli Parlimen Pekan itu berdepan 6 pertuduhan pengubahan wang dan pecah amanah dalam pemindahan dana SRC International sebanyak RM42 juta ke akaunnya.
Beliau turut didakwa menyalahgunakan kuasanya sebagai perdana menteri dengan memberi jaminan kerajaan ke atas pinjaman SRC International sebanyak RM4 bilion dari Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan.
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram
Beliau didakwa melakukan kesalahan itu di AmIslamic Bank cawangan Jalan Raja Chulan dan Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya antara 17 Ogos 2011 dan 10 Februari 2015.