Pemimpin PPBM pertikai tinjauan Dr M sebagai PM

Di bawah satu perjanjian antara pucuk pimpinan PH, Dr Mahathir Mohamad akan menyerahkan kuasa kepada Anwar Ibrahim, tetapi tiada tempoh ditetapkan untuk peralihan kuasa itu.

PETALING JAYA: Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi PPBM mempersoalkan satu tinjauan dijalankan badan pemikir kerajaan Selangor yang majoriti rakyat tidak mahu Dr Mahathir Mohamad kekal sebagai perdana menteri lebih 2 tahun.

Menteri Pembangunan Usahawan, Redzuan Yusof mendapati tinjauan dijalankan Institut Darul Ehsan (IDE) itu hanya membabitkan 1,597 orang dan ia tidak mewakili orang ramai.

“Ia adalah tinjauan pendapat dijalankan sebuah badan pemikir dengan kaitan kepada pemimpin PKR,” kata ahli Parlimen Alor Gajah itu kepada FMT.

“Saya boleh buat tinjauan di bahagian saya sendiri yang mempunyai lebih 3,000 ahli dan sokongan bagi Mahathir untuk kekal sebagai PM akan lebih banyak.”

Tinjauan IDE yang dijalankan di kawasan Parlimen Semenanjung Malaysia selama 3 hari dari 28 hingga 30 Jun lalu itu turut menunjukkan 45% responden mahu Anwar Ibrahim menjadi perdana menteri berikut.

Di bawah satu perjanjian antara pucuk pimpinan Pakatan Harapan, Anwar akan menggantikan Mahathir sebagai perdana menteri walaupun tiada tempoh ditetapkan bagi peralihan kuasa itu.

Bagaimanapun, Redzuan berkata, Mahathir ialah faktor utama kemenangan PH dalam pilihan raya umum tahun lalu.

Beliau mendakwa parti komponen PH lain diberikan kerusi lebih mudah berbanding PPBM yang menentang calon Umno dan PAS di kubu kuat mereka.

Beliau menggesa “sesetengah orang” memberi peluang kepada Mahathir untuk terus menerajui negara, bukannya memberi tekanan kepadanya supaya berundur sebelum beliau memutuskan berbuat demikian.

“Bersabar. Mahathir ialah orang yang pegang pada janjinya dan beliau berjanji menyerahkan kuasa kepada Anwar selepas beliau meletakkan asas untuk membina semula Malaysia yang lebih baik.”

Tariq Ismail turut mempersoalkan tinjauan IDE itu dengan berkata 1,600 responden bukan penunjuk sewajarnya.

“Mereka yang mahu menukar PM tiada perkara lain mahu dilakukan dan mereka tidak sesuai berada di Parlimen.

“Suka atau tidak, ia bukan kerana Mahathir dan Muhyiddin Yassin, mereka masih menjadi pembangkang atau berada di penjara.”

Katanya, lebih penting untuk Malaysia memulihkan ekonominya dan pelabur tempatan serta asing mahu melihat penyelesaian jangka sederhana dan panjang terhadap isu di negara ini.

“Apa penyelesaian Anwar untuk masalah ekonomi? Apa penyelesaian yang beliau akan bentangkan?

“Sebarang perubahan mendadak dalam pucuk pimpinan sekarang hanya akan membawa ketidakpastian,” katanya sambil menambah Mahathir perlu diberikan ruang dan masa untuk memulihkan negara serta menyerahkan kuasa seperti dijanjikannya.