Polis tolak dakwaan Farhash tak diberi makan ketika dalam tahanan

Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak ialah ketua PKR Perak dan setiausaha politik Anwar Ibrahim. (Gambar Facebook)

KUALA LUMPUR: Polis hari ini menolak dakwaan tidak memberi makanan kepada Ketua PKR Perak, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak yang ditahan Selasa lalu bagi membantu siasatan penyebaran video seks sejenis menyasarkan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Azmin Ali.

“Ini dakwaan tidak benar,” kata Ketua Polis Negara, Abdul Hamid Bador.

Farhash antara 9 individu ditahan polis dalam siasatan ke atas pembikinan dan penyebaran video seks sejenis.

Terdahulu, PKR Perak hari ini mendakwa Farhash tidak diberi makan 24 jam ketika ditahan polis.

“Kami berpandangan sangat tidak wajar perkara ini berlaku kerana kita di bawah pentadbiran Malaysia Baru, namun masih ada elemen-elemen tidak berperikemanusiaan di dalam melayani orang-orang yang ditahan.

“Perkara ini perlu diaudit dan disemak semula oleh pihak berwajib,” kata Majlis Pimpinan (MPN) PKR Perak dalam kenyataan hari ini.

Polis menahan 3 individu di Pasir Gudang, Johor, pada petang Selasa lalu bagi membantu siasatan kes penyebaran video seks sejenis itu.

Semalam, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Huzir Mohamed mengesahkan 2 daripada suspek itu direman 4 hari sehingga Sabtu ini, manakala baki seorang lagi individu dibebaskan selepas polis mengambil keterangannya.

Media semalam memetik Timbalan Pengerusi PKR Perak, M A Tinagaran sebagai berkata, Farhash yang juga setiausaha politik Anwar Ibrahim ditahan bagi membantu siasatan polis, tetapi beliau bukannya pesalah dalam kes itu.

Hari ini, MPN Perak berharap polis tidak membuat siasatan atau pendakwaan terpilih ke atas Farhash dan mereka akan menyiasat secara telus serta tanpa prejudis dalam kes berprofil tinggi seperti ini.

Katanya, mereka terkilan dengan penahanan Farhash dan tuduhan yang dilemparkan ke atasnya, tetapi parti itu tidak terjejas dengan isu terbabit.

“Kami tegaskan beliau tidak bersalah terhadap tuduhan yang tidak berasas ini.

“Kami berharap proses undang-undang yang telus didaulatkan di dalam episod penahanan dan tuduhan terhadap pengerusi PKR Perak ini.

“Perkara pokok kes ini, iaitu kesahihan dan ketulenan video gay masih tidak disahkan polis. Rakyat seluruhnya menuntut penjelasan dan kesahihan tentang pelaku dan ketulenan video tersebut.”