Qatar akan buka pusat kebajikan di KL bantu Rohingya, kata Muhyiddin

Muhyiddin Yassin menemui Penasihat Keselamatan Negeri kepada Amir Qatar, Mohamed Ahmad di bangunan Parlimen hari ini.

KUALA LUMPUR: Menteri Dalam Negeri, Muhyiddin Yassin berkata, Qatar akan membuka sebuah pusat kebajikan di sini bulan depan untuk membantu pelarian Rohingya di Malaysia dalam bidang kesihatan, pendidikan dan latihan.

Katanya, beliau akan memaklumkan Majlis Keselamatan Negara untuk mengambil langkah segera bagi membolehkan Malaysia mendapat manfaat bersama daripada penubuhan pusat kebajikan itu.

“Ada lebih kurang 150,000 (pelarian) yang sebahagian besar adalah Rohingya. Untuk tujuan itu, kita perlu menangani pelbagai masalah. Pihak Qatar bersedia membantu meringankan beban kita.

“Dimaklumkan, pejabat yang ditubuhkan bulan depan di Kuala Lumpur bawah ‘Qatar Charity’. Ada penyelarasan tentang macam mana tabung yang disediakan dapat membantu pelarian di Malaysia,” katanya di lobi Parlimen hari ini selepas menemui Penasihat Keselamatan Negeri kepada Amir Qatar, Mohamed Ahmad.

Pada Jun 2017, Arab Saudi dan beberapa negara Arab memutuskan hubungan diplomatik dengan Qatar yang secara tidak langsung menggugat kesatuan negara teluk.

Riyadh dilaporkan berkata, keputusan tegas itu dibuat ekoran pelanggaran melampau pihak berkuasa Qatar serta tindakan melindungi pengganas dan pelampau yang menggugat rantau berkenaan.

Tahun lalu, Bernama melaporkan Qatar adalah rakan niaga ke-5 terbesar, destinasi eksport ke-8 terbesar dan sumber import ke-3 terbesar Malaysia dalam kalangan negara Timur Tengah, dengan eksport berjumlah RM3.19 bilion pada 2017 dan import berjumlah RM8.9 bilion.

Sementara itu, Muhyiddin berkata, pertemuannya dengan Mohamed hari ini turut membincangkan bagaimana Qatar boleh membantu Malaysia menggunakan dana pembangunan negara itu.

Tetapi, katanya, mekanisme bantuan itu belum diputuskan.

“Ini bukannya baru, tetapi sudah dibincangkan sejak sekian lama. Kerjasama yang sudah terjalin (antara Malaysia dan Qatar) tetapi hendak diperkukuhkan lagi.

“Kita bersedia membantu satu sama lain, terutamanya dari isu keganasan, jenayah antarabangsa dan dadah,” katanya sambil menambah kerjasama itu akan membabitkan MKN serta Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.