Speakar tolak usul semak keputusan tak rujuk Guan Eng ke jawatankuasa

KUALA LUMPUR: Speaker Dewan Rakyat, Ariff Yusof menolak usul Ketua Pembangkang, Ismail Sabri meminta keputusan tidak merujuk Menteri Kewangan Lim Guan Eng ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan disemak.

Beliau juga menolak satu lagi usul meminta Dewan Rakyat membahaskan laporan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) yang mendapati tiada kutipan GST hilang.

Ariff berkata dia terpaksa menolak 2 usul itu kerana sudah terlewat mengikut peraturan mesyuarat Dewan Rakyat.

“Ini tidak bermakna usul tidak boleh dikemukakan sekali lagi, untuk dibahaskan laporan PAC dan semakan keputusan saya pada mesyuarat akan datang,” katanya.

Hari ini merupakan hari terakhir mesyuarat ke-2 penggal ke-2 Dewan Rakyat. Persidangan seterusnya akan diadakan pada Oktober.

“Saya sudah tandatangan surat jawapan, malangnya notis diterima semalam 6.30 petang. Mengikut peraturan mesyuarat ianya di luar tempoh, oleh sebab itu saya terpaksa menolak,” katanya.

Semalam, Dewan Rakyat bertelingkah selepas Ariff memutuskan Lim tidak akan dirujuk ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan kerana “tiada unsur prima facie” bahawa menteri itu mengelirukan Dewan.

Pertelingkahan mengenai penggunaan istilah “rompak” oleh Lim, yang pada Ogos lalu mendakwa kutipan GST “dirompak” kerajaan dulu, timbul selepas PAC mengesahkan tiada kehilangan wang.

Lim ketika itu berkata terdapat kekurangan hampir RM18 bilion. Menurut PAC, duit itu tidak dipindahkan ke Kumpulan Wang Pembayaran Balik GST seperti yang ditetapkan undang-undang.

Perdana menteri ketika itu, Najib Razak dalam satu kenyataan berkata, duit itu dimasukkan sepenuhnya ke Akaun Disatukan dulu kerana jumlah bayaran balik belum diketahui, dan akan diagihkan kemudian bergantung kepada kesahihan tuntutan.