Speaker tarik diri dari perbahasan rujuk Lim ke jawatankuasa, kata Ismail

Ketua Pembangkang, Ismail Sabri.

KUALA LUMPUR: Speaker Dewan Rakyat, Mohamad Ariff Md Yusof tidak akan mempengerusikan perbahasan merujuk Menteri Kewangan Lim Guan Eng ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan atas dakwaan mengelirukan Dewan Rakyat, selepas Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) tidak melaporkan kutipan GST dirompak kerajaan dulu.

Penarikan diri itu dimaklumkan oleh Ketua Pembangkang, Ismail Sabri selepas wakil-wakil rakyat menimbulkan isu percanggahan kepentingan apabila Dewan Rakyat mendapat tahu anak Ariff setiausaha akhbar kepada Lim.

Semalam, Dewan Rakyat bertelingkah selepas Ariff memutuskan Lim tidak akan dirujuk ke jawatankuasa itu, kerana “tiada unsur prima facie” bahawa menteri mengelirukan Dewan.

“Speaker sudah umumkan bahawa isu ini dia tidak akan terlibat,” kata Ismail kepada pemberita di Parlimen hari ini.

Pertelingkahan mengenai penggunaan istilah “rompak” oleh Lim, yang pada Ogos mendakwa kutipan GST “dirompak” kerajaan dulu, timbul selepas PAC mengesahkan tiada kehilangan wang.

Lim ketika itu berkata terdapat kekurangan hampir RM18 bilion. Menurut PAC, duit itu tidak dipindahkan ke Kumpulan Wang Pembayaran Balik GST seperti yang ditetapkan undang-undang.

Perdana menteri ketika itu, Najib Razak dalam satu kenyataan berkata, duit itu dimasukkan sepenuhnya ke Akaun Disatukan dulu kerana jumlah bayaran balik belum diketahui, dan akan diagihkan kemudian bergantung kepada kesahihan tuntutan.

Sementara itu, Ismail akan menghantar 2 usul baru, iaitu meminta speaker mengkaji semula keputusan tidak merujuk Lim, dan membahaskan laporan PAC.