Tak kira siapa dalang video seks, tindakan mesti diambil, kata Tian Chua

Naib Presiden Tian Chua berkata Azmin Ali seorang mangsa.

PETALING JAYA: Naib Presiden PKR, Tian Chua meminta polis menangkap dalang sebalik pengedaran video seks sejenis yang menyasarkan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Azmin Ali.

Beliau berkata, Azmin seorang mangsa tindakan yang berniat jahat dan mereka yang mengatur pengedaran video-video itu mesti berdepan tindakan undang-undang.

“Saya tak tahu siapa terlibat, kerana mungkin hanya ketua polis negara tahu siapa pemimpin politik itu. Isunya terdapat seorang dalang dan tindakan harus diambil walau apa pun kedudukannya dalam parti,” katanya.

Beliau mengingatkan ahli-ahli parti tentang tahun-tahun pembentukan PKR pada lewat 90-an apabila presiden mereka, Anwar Ibrahim juga menjadi mangsa politik kotor.

“Ribuan orang menunjuk perasaan menolak politik kotor pada waktu itu. Kami berdiri menyokong Anwar. Kita tak boleh buat perkara sama,” katanya.

Beliau menambah parti itu mesti setia pada prinsip dan menolak politik kotor.

Terdahulu, Abdul Hamid Bador mengumumkan siasatan polis mendedahkan wujud “pakatan jahat yang didalangi seorang pemimpin parti politik”.

Katanya, hasil analisis CyberSecurity Malaysia, kebarangkalian video tersebut tulen adalah tinggi, tetapi hasil proses pengecaman wajah adalah negatif.