Umur mengundi 18, sempatkah untuk pilihan raya negeri Sarawak?

Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Sarawak Abdul Karim Rahman Hamzah.

KUCHING: Seorang menteri Sarawak bertanya sama ada had umur mengundi 18 tahun yang baru diluluskan akan sempat dikuatkuasakan bersempena pilihan raya negeri itu yang mesti diadakan selewat-selewatnya pada 2021.

Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan negeri, Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, rang undang-undang yang diluluskan oleh Dewan Rakyat itu masih perlu melalui Dewan Negara dan mendapat perkenan Agong sebelum ia boleh diwartakan.

“Ia juga bergantung pada masa undang-undang itu dikuatkuasakan. Tarikhnya boleh ditolak ke hadapan,” katanya, merujuk kepada had umur baru 30 tahun bagi persatuan belia.

“Ia hanya akan bermula pada Disember 2021,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri pameran rekaan fesyen di sini, semalam.

Sebuah pertubuhan bukan kerajaan negeri, Rise of Sarawak menggesa kerajaan supaya memastikan pendaftaran automatik pengundi dan pindaan lain sedia terlaksana sebelum pilihan raya negeri diadakan.

Dalam satu kenyataan, pertubuhan itu memetik Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad yang dilaporkan berkata bahawa pendaftaran automatik pengundi dan penurunan had umur mengundi 18 tahun akan meningkatkan jumlah pengundi di Sarawak kepada kira-kira 2.04 juta.

“Ia merupakan pertambahan sebanyak 820,000 berbanding jumlah pengundi pada pilihan raya umum tahun lepas,” katanya.

Pertubuhan itu juga menggesa disediakan maklumat lengkap serta pendidikan pengundi, bermula di sekolah menengah.

Ahli Parlimen Petra Jaya, Fadillah Yusof berkata, beliau percaya had umur baru mengundi itu harus dikuatkuasakan hanya selepas semua isu teknikal diatasi.

Katanya, sistem polis, Kementerian Dalam Negeri, Suruhanjaya Pilihan Raya, Jabatan Penjara dan Jabatan Pendaftaran Negara perlu diseragamkan bagi memastikan hanya mereka yang layak akan didaftarkan.

Pada Selasa, Dewan Rakyat meluluskan rang undang-undang meminda perlembagaan persekutuan bagi membolehkan rakyat berumur 18 tahun mengundi dan menjadi calon pilihan raya.

Seramai 211 ahli Parlimen menyokong pindaan untuk mengurangkan umur mengundi daripada 21 tahun.