Video seks sejenis barangkali tulen tapi pelaku tak dapat dicam, kata KPN

Abdul Hamid Bador.

PETALING JAYA: Ketua Polis Negara, Abdul Hamid Bador mengumumkan kebarangkalian video seks sejenis yang menyasarkan Menteri Hal Ehwal Ekonomi Azmin Ali tulen adalah tinggi, menurut hasil analisis CyberSecurity Malaysia.

Hasil analisis yang sama bagaimanapun tidak dapat mengecam individu yang dikatakan mirip menteri itu.

“Disahkan bahawa kebarangkalian video tersebut tulen (authentic) adalah tinggi, dan hasil proses pengecaman wajah (facial recognition) adalah negatif dan tidak dapat mengaitkan pelaku di dalam video tersebut dengan individu yang dimaksudkan,” katanya dalam kenyataan.

Hamid juga mengumumkan hasil siasatan polis mendedahkan wujud “pakatan jahat yang didalangi seorang pemimpin parti politik”, bertujuan mengaib dan menjatuhkan reputasi individu tertentu.

“Video yang disebarkan dengan tujuan membangkitkan kegusaran masyarakat tersebut, telah dihasilkan oleh pihak yang diupah dengan ratusan ribu ringgit,” katanya.

Beliau bagaimanapun tidak menamakan dalangnya.

Pada 12 Jun lalu, bekas ketua Pemuda PKR Santubong, Haziq Aziz menggemparkan negara dengan pengakuan beliau terbabit dalam klip video seks sejenis di sebuah hotel di Sandakan, Sabah, bulan lalu.

Haziq menamakan Azmin sebagai pasangannya dalam video itu.

Azmin menafikan sekeras-kerasnya dakwaan itu yang disifatkannya komplot jahat untuk memusnahkan kerjaya politiknya.

Haziq ditahan pada 14 Jun dan disiasat atas 4 kesalahan, termasuk melakukan hubungan seks di luar tabii dan mengedar bahan lucah.

Pada Selasa, 3 individu ditahan di Pasir Gudang, Johor bagi membantu siasatan kes penyebaran video seks sejenis itu.

Dua daripada mereka direman 4 hari sehingga Sabtu, manakala seorang lagi dibebaskan selepas diambil keterangan.