WHO isytihar wabak Ebola di Congo ‘darurat antarabangsa’

Sejak diisytiharkan setahun lepas, penularan wabak Ebola di Congo diklasifikasi sebagai kecemasan tahap 3 yang mencetuskan mobilisasi tahap tertinggi. (Gambar AFP)

GENEVA: Ketua Pengarah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) Tedros Adhanom Ghebreyesus pada Rabu mengisytiharkan penularan virus Ebola di Republik Demokratik Congo (DRC) sebagai satu darurat kesihatan awam yang menjadi kepentingan antarabangsa (PHEIC), lapor agensi berita China Xinhua.

Pengisytiharan itu menyusuli satu mesyuarat Jawatankuasa Kecemasan Peraturan Kesihatan Antarabangsa bagi penularan virus Ebola di DRC, yang ke-4 seumpamanya selepas penularan wabak itu diisytihar pada 1 Ogos 2018.

Jawatankuasa itu membuat syor tersebut berdasarkan perkembangan baru-baru ini, termasuk kes pertama yang disahkan di Goma, sebuah bandar dengan hampir 2 juta penduduk di sepanjang sempadan dengan Rwanda.

Angka terkini Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menunjukkan sejumlah 650 orang maut dalam penularan semasa, manakala kira-kira 12 kes baru dilaporkan setiap hari.

“Sudah tiba masanya dunia memberi perhatian dan menggandakan usaha kita. Kita perlu bekerjasama dalam solidariti dengan DRC bagi menghentikan penularan ini dan membangunkan satu sistem kesihatan lebih baik,” kata Ghebreyesus.

“Usaha luar biasa telah dilakukan selama hampir setahun di bawah keadaan paling sukar. Kita semua terhutang budi kepada semua responder, yang bukan hanya dari WHO malah kerajaan, rakan kongsi dan komuniti, untuk memikul lebih banyak beban,” katanya.

Sejak ia diisytiharkan hampir setahun lepas, penularan wabak itu diklasifikasi sebagai kecemasan tahap 3 – yang paling serius – oleh WHO, mencetuskan mobilisasi di tahap tertinggi.

PBB turut mengiktiraf keseriusan kecemasan itu dengan mengaktifkan sistem kemanusiaan secara besar-besaran untuk menyokong respons Ebola.

Bagaimanapun, selain mengesyorkan satu PHEIC dan membuat cadangan khusus berkaitan penularan wabak ini, Jawatankuasa Kecemasan Peraturan Kesihatan Antarabangsa bagi penularan virus Ebola di DRC pada Rabu turut melahirkan kekecewaaan berhubung kelewatan dalam pembiayaan yang menghalang respons.

Pada masa yang sama, jawatankuasa itu mempergiat keperluan melindungi mata pencarian rakyat yang terjejas akibat penularan itu dengan memastikan laluan pengangkutan dan sempadan dibuka.

Ia juga berkata langkah itu penting untuk mengelak kesan punitif ekonomi dari segi sekatan perjalanan serta perdagangan ke atas komuniti yang terjejas.

“Adalah penting untuk dunia mengikuti kesemua syor ini. Ia juga amat penting untuk menyatakan bahawa jangan sesekali menggunakan PHEIC sebagai alasan bagi mengenakan sekatan perdagangan atau perjalanan.

“ini hanya akan memberikan impak negatif terhadap respons dan kehidupan serta mata pencarian penduduk di rantau ini,” kata profesor Robert Steffen, pengerusi Jawatankuasa Kecemasan itu.