Zuraida akui PKR retak kerana isu video seks gay

Zuraida Kamaruddin berkata, beliau sudah menghubungi Anwar Ibrahim untuk menyuarakan rasa tidak puas hati dalam isu video seks sejenis menyasarkan Azmin Ali.

KUALA LUMPUR: Naib Presiden PKR, Zuraida Kamaruddin yang merupakan penyokong setia Azmin Ali mengakui wujud perpecahan dalam parti itu disebabkan “pemikiran aliran”, istilah yang digunakannya untuk merujuk perbalahan selepas isu video seks sejenis menyasarkan timbalan presiden parti itu.

Beliau berkata, tiba masanya untuk pemimpin parti bersatu memperkukuhkan PKR.

“Sentiasa ada persepsi wujud keretakan dalam parti melibatkan timbalan presiden parti dan presiden. Ada di antara kami yang datang dari perspektif dan pemikiran berbeza. Jadi, saya rasa sudah tiba masanya untuk kita bersama.

“Saya rasakan media sudah memainkan perkara ini (perpecahan dalam PKR) sentiasa, jadi jangan tanya saya sekarang. Sudah tentu ada persepsi dan media yang menghangatkan lagi.

“Tetapi, saya rasakan ia berlaku. Bagi saya, disebabkan isu ini, ini adalah peluang untuk kita bersatu dan mengelak daripada keretakan,” katanya di lobi Parlimen hari ini.

Terdahulu, 27 pemimpin kanan PKR mempersoalkan tindakan Anwar “memecah belahkan kesatuan parti” kerana menyokong gesaan supaya Azmin bercuti atau meletak jawatan jika terbukti beliau terbabit dalam video seks sejenis yang tersebar bulan lalu.

Antara pemimpin itu adalah Zuraida, Xavier Jayakumar, Tian Chua, Amirudin Shari, Saifuddin Abdullah, Sivarasa Rasiah dan Maria Chin Abdullah.

Zuraida berkata, beliau sudah menghubungi Anwar untuk menyuarakan rasa tidak puas hati dalam isu video seks menyasarkan Azmin.

“Saya sentiasa rasakan tujuan saya melibatkan diri dalam pemilihan parti adalah untuk kukuhkan parti, tetapi parti tidak bergerak ke arah sewajarnya, jadi ia mengecewakan saya.”

Pada masa sama, Zuraida meminta Anwar menjelaskan sebab penahanan setiausaha politiknya, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak bagi membantu siasatan polis dalam kes video seks sejenis.

“…sekarang ini kita sudah buat teguran berhubung situasi yang berlaku. Kita serahkan kepadanya memandangkan beliau merupakan presiden parti.”

Farhash antara 9 individu ditahan polis dalam siasatan kes video seks sejenis. Turut ditahan ialah bekas ketua Pemuda PKR Bahagian Santubong, Haziq Aziz yang secara terbuka mengakui terbabit mengadakan hubungan seks sejenis di sebuah hotel di Sabah, Mei lalu.

Haziq turut menamakan Azmin sebagai pasangannya dalam klip video seks itu, tetapi dinafikan Azmin yang menyifatkannya konspirasi untuk memusnahkan kerjaya politiknya.